Selepas bekerja dan melihat banyak telefon pintar, jarang untuk dilihat Vivo menawarkan telefon pintar mampu milik yang berbaloi dengan harganya. Biasanya ia jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan telefon Xiaomi, Realme atau Honor.
Tetapi hari ini Vivo Malaysia melancarkan Vivo Y78 5G dengan perkakas yang menarik. Lebih penting, fungsi yang ditawarkan kelihatan berbaloi dengan harganya. Pendek kata, Vivo Y78 menawarkan skrin AMOLED melengkung dan kamera OIS pada harga di bawah RM1,500.
Harga dan Promosi
Vivo Malaysia menawarkan hanya satu varian di Malaysia iaitu:
- Vivo Y78 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,399
Ada hadiah percuma menanti pembeli terawal, bernilai RM599 iaitu fon telinga TWS, jaminan tambahan lanjutan 180 hari, perlindungan skrin 180 hari dan pelindung skrin. Promosi ini diberikan untuk tempahan dari 1 Ogos sehingga 11 September 2023. Ia boleh didapati dari Stor Online Vivo Malaysia, serta stor rasmi Vivo di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Vivo Y78 5G
Vivo menggunakan cip Snapdragon 695 6nm sebagai kuasa penggerak utama di Vivo Y78. Ia menyokong 5G dan dipadankan bersama RAM LPDDR4X sebanyak 8GB serta storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB.
Vivo turut berbangga dengan Vivo Y78 kerana ia menggunakan skrin melengkung 3D, sesuatu yang jarang ditemui pada telefon pada harga sebegini. Skrin ini jenis AMOLED seluas 6.78-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Telefon ini dikatakan sangat nipis, setebal hanya 7.89mm dengan berat cuma 177 gram.
Satu lagi perkara yang dibanggakan Vivo adalah kamera utama. Ia memiliki sensor 64MP F1.79 dan dilengkapi penstabil imej optikal dan elektronik (OIS + EIS). Ini membantu tangkapan gambar dan video yang stabil dan kekal tajam.
Selain itu, terdapat dua lagi kamera di belakang iaitu kamera potret 2MP F2.4 dan kamera makro 2MP F2.4 dengan jarak tangkapan super dekat, 4cm. Di hadapan, ia dipasang kamera 16MP F2.0 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Bateri yang dipasang di dalam Vivo Y78 agak besar, berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Vivo FlashCharge 44W. Kepala pengecas dan kabel ada disertakan di dalam kotak.
Vivo Y78 menjalankan sistem operasi Funtouch OS 13, berasaskan Android 13. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Hitam dan Emas. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Vivo Y78 5G.
Pesaing skrin AMOLED melengkung
Pada harga ini, pesaing untuk Vivo Y78 5G adalah Honor X9a yang kini berharga RM1,299 dan Realme 11 Pro yang baru dilancar berharga RM1,499. Persamaan telefon ini adalah skrin AMOLED melengkung 3D tetapi dengan kamera dan cip berbeza.
Bacaan Berkaitan
- Vivo Y36 baru diperkenal lebih murah tanpa 5G, tak sampai RM1,000
- Vivo Y27, peranti murah terbaru dikuasakan Helio G85 dan pengecas 44W
- Yakin telefon Vivo anda asli, bukan tiruan? Boleh semak dengan cara mudah ini
- Vivo Y36 5G dilancar, telefon mampu milik dengan jaminan 2 tahun dan fon telinga TWS percuma