Pada 24 Februari lalu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI.
Belanjawan ini menyediakan pelbagai inisiatif dan faedah yang boleh dimanfaatkan rakyat Malaysia, terutama golongan kurang berkemampuan atau B40.
Antaranya, kerajaan memperuntukkan sejumlah dana khas untuk membantu penduduk rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Malaysia. Ini merupakan usaha kerajaan dalam misi meningkatkan taraf serta kualiti hidup di kediaman PPR.
Kerajaan sentiasa komited dan tidak mendiskriminasi dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar.
Terdapat banyak bantuan, pemberian dan inisiatif yang diperuntukkan kepada PPR dalam Belanjawan 2023. Tapi, mungkin ramai yang masih tidak menyedari inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan.
Di sini kami senaraikan rangkuman bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan khas untuk PPR.
1. Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM)
Program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bertujuan untuk membaik pulih dan menyelenggara rumah kos berstrata rendah swasta dan sederhana rendah swasta di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ia bertujuan menyediakan persekitaran kediaman yang selesa dan berkualiti kepada penghuni rumah kos berstrata rendah, sambil turut membantu pihak pengurusan JMB dan MC.
Ini termasuk kerja baik pulih seperti membaiki lif, membaiki tangki air dan sistem retikulasi, membaiki paip sanitari, membaiki bumbung, membaiki tangga dan susur tangan, mengecat bangunan, pendawaian semula elektrik, membaiki kerosakan umum, membaiki pagar dan cerun. Sebanyak RM44.4 juta peruntukan disediakan bagi menjayakan inisiatif ini.
2. Penyelenggaraan Perumahan Kos Rendah Negeri (PPP)
Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) bermatlamat untuk membaik pulih dan menyelenggara perumahan kos rendah awam berstrata atau berbilang tingkat. Permohonannya boleh dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara perumahan kos rendah awam di seluruh Malaysia.
Sebanyak RM46 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk kerja baik pulih lif, membaiki tangki air dan sistem, membaiki paip sanitari, membaiki bumbung, membaiki tangga dan susur tangan, mengecat bangunan, pendawaian semula elektrik dan membaiki kerosakan umum pada kemudahan awam.
3. Penyelenggaraan Lif PPR
Lif-lif dan jentera pengangkut yang usang akan diselenggara dan dibaiki untuk memastikan kemudahan di komuniti PPR sentiasa berada dalam keadaan selamat. Sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pelaksanaannya.
4. Internet percuma di 56 PPR terpilih
Akses internet secara percuma akan disediakan di 56 PPR terpilih. Kemudahan jalur lebar ini bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan & komunikasi yang mampan dalam komuniti setempat.
5. ThinkCity – Program Kita untuk Kita (K2K)
Sebuah program oleh Think City yang bertujuan mewujudkan persekitaran perumahan awam yang lebih berdaya huni. Ia juga dihasilkan untuk memperbaiki kemerosotan sosio ekonomi dan fizikal perumahan awam dengan meliputi empat komponen program iaitu pemerkasaan komuniti PPR, Pengutamaan Pengurusan Isu PPR Bersama, Memperkasa Penjanaan Pendapatan Penduduk PPR dan Pembaharuan Dasar & Advokasi.
6. Kelas Pemulihan NGO (Non Governmental Organisation) di PPR
Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan kepada NGO bagi membantu menyediakan kelas pemulihan khas untuk anak-anak penghuni PPR. Inisiatif ini diadakan untuk membantu mengurangkan kadar keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar dalam komuniti PPR.
7. Projek PPR Baharu
Kerajaan akan membina 13 PPR baharu di setiap negeri di Malaysia dengan peruntukan hampir RM390 juta bagi menempatkan 12,400 penghuni baharu pada masa akan datang.
8. Yayasan Hasanah – PPR: Aktiviti Ekonomi Rakyat
Inisiatif ini disediakan bertujuan untuk mempergiat aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Cloud Kitchen. Inisiatif ini juga dapat menggalakkan penghuni melakukan aktiviti sampingan di samping membolehkan mereka menjana pendapatan.
9. Amalan Hijau Lokalisasi SDG: Pembangunan Komuniti Sifar Sisa
Untuk menggalakkan amalan Hijau, kerajaan memperkenalkan program Pembangunan Komuniti Sifar Sisa. Ia bertujuan mempertingkatkan kesedaran dalam usaha memelihara alam sekitar dalam kalangan komuniti PPR yang terpilih.
10. Fit@Komuniti Projek Perumahan Rakyat
Fit@Komuniti adalah penganjuran aktiviti riadah dan gaya hidup sihat dihasilkan khusus untuk penghuni rumah PPR bagi merealisasikan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Program akan berjalan setiap hari Sabtu atau Ahad selama 30 minggu bermula Jun hingga Disember 2023 melibatkan 12 lokasi di seluruh negara.
Ini adalah kesemua inisiatif yang disediakan oleh kerajaan khas untuk membantu penghuni PPR. Mereka yang layak digalakkan untuk memanfaatkan bantuan yang diberi kerajaan dalam Belanjawan 2023. Proses permohonan pun boleh dilakukan dengan mudah, dan bantuan akan segera disalurkan. Tapi bukan semua permohonan telah dibuka dan perlu dimohon. Jadi untuk tidak terlepas akan inisiatif yang ditawarkan, anda boleh layari laman web Manfaat – Pelancar Carian Belanjawan 2023.
#Belanjawan2023 #BelanjawanMADANI