Kalau anda masih ingat sewaktu pelancaran skuter elektrik Blueshark R1 tempoh hari, EP Manufacturing (EPMB) ada berkongsikan yang mereka sedang bekerjasama dengan Grab dalam satu program rintis melibatkan 50 unit Blueshark R1 diedar dalam kalangan ahli p-hailing Grab.
Ia penting bagi mendapatkan maklum balas orang yang terlibat secara langsung dengan penghantaran disamping memungut data-data telemetri bagi tujuan penambahbaikan yang akan datang.
Kini, kerjasama itu dibawa ke tahap yang seterusnya. Ia kini lebih meluas kerana melibatkan kesemua ahli p-hailing Grab. Dalam inisiatif terbaharu ini, rider diberi peluang untuk membeli Blueshark R1 pada potongan harga. Kemudian, mereka juga akan menerima manfaat langganan program penggantian bateri percuma selama 3 bulan.
Walau bagaimanapun, malumat tentang harga, bilakah ia akan berjalan, dan bagaimana untuk lakukan pendaftaran masih belum ini.
EPMB berharap daripada inisiatif ini, mereka mampu menarik minat 80,000 rider Grab di Malaysia untuk bertukar daripada motorsikal petrol kepada elektrik. Ia bukanlah satu perkara yang mudah.
Buat yang terlepas berita, Blueshark R1 adalah sebuah skuter elektrik yang dilancarkan dalam bulan Mac 2023 lalu. Ia sah digunakan di atas jalan raya dengan kelajuan maksimum sehingga 80km/j. Dilengkapi bateri berkembar, jarak kembaranya adalah sekitar 140km dan bateri boleh ditukar di stesen-stesen pengecasan terpilih ataupun dicas sendiri di rumah menggunakan pengecas AC.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Blueshark R1 dalam artikel kami yang terdahulu.
Sumber: SoyaCincau