Sime Darby Berhad (Sime Darby) telah mengeluarkan kenyataan rasmi di Bursa Malaysia bahawa mereka merancang untuk mengambil alih UMW Holdings Berhad (UMW), menerusi perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Dalam perjanjian ini, Sime Darby akan mengambil alih 61.2% pegangan PNB di dalam UMW.
Awal hari ini, Reuters telah melaporkan bahawa PNB sedang mempertimbangkan penggabungan perniagaan automotif antara Sime Darby Motors dan Perodua. Gabungan ini boleh mencipta kumpulan automotif dengan potensi nilai melebihi RM10 bilion.
PNB merupakan pemegang saham terbesar di dalam Sime Darby, serta memegang 10% saham secara terus di dalam Perodua. Pemegang saham lain yang terdapat di dalam Perodua adalah Daihatsu, MBM Resources serta Mitsui & Co.
Untuk pengambilalihan pegangan PNB di dalam UMW, Sime Darby akan membayar tunai berjumlah RM3.57 bilion, atau RM5 untuk setiap unit saham. Selepas perjanjian menjadi tidak bersyarat, Sime Darby seterusnya berniat membuat tawaran umum untuk baki 38.8% saham yang tidak dimilikinya, bertujuan untuk membawa UMW keluar dari Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ia adalah langkah strategik untuk memperluas dan mengukuhkan kehadiran Sime Darby dalam sektor automotif Malaysia, dengan penambahan dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio iaitu Toyota dan Perodua. Urusniaga ini akan mengukuhkan kedudukan Sime Darby sebagai pemain automotif utama Malaysia.
Sime Darby akan menjadi pemain automotif utama dalam negara, dengan lebih 50% pegangan pasaran menerusi jenama seperti Toyota, Lexus, Perodua, Hyundai dan BYD.
Sime Darby berharap proses pengambilalihan akan selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA (perjanjian jual beli), tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan kelulusan pemegang saham serta syarat-syarat penutupan lazim.
[Sumber: Sime Darby]