Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil hari ini melancarkan secara rasmi Pakej 5G Rahmah. Ia bertujuan menyediakan akses kepada rakyat Malaysia untuk melanggan pelan 5G bersama peranti 5G, pada harga lebih mampu milik.
Pendaftaran Pakej 5G Rahmah akan dibuka kepada semua, mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember 2023. Menurut Fahmi, apa yang diumumkan hari ini hanyalah asas sahaja. Syarikat telekomunikasi (telco) boleh menyediakan pakej yang lebih baik daripada apa yang diumumkan.
Asas Pakej 5G Rahmah yang akan disediakan adalah:
- Data 60GB dengan akses 5G
- Harga pelan RM60, bersamaan RM1 = 1GB
- Telefon pintar 5G hanya RM240 atau kurang
- Jaminan telefon pintar selama 2-tahun
- Kontrak pelan 2-tahun
Dalam pelancaran ini, Fahmi menyebut telco yang mengambil bahagian menyediakan Pakej 5G Rahmah adalah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes).
Buat masa ini, Fahmi menyebut sudah ada dua pengeluar peranti yang bersetuju dengan insentif yang cuba disediakan iaitu jaminan peranti selama 2 tahun. Pertama adalah Samsung menerusi Galaxy A14 5G (bernilai RM949). Kedua adalah Honor dengan model Honor 90 Lite 5G (bernilai RM1,099). Jika ada pengeluar lain yang bersedia memberikan jaminan 2-tahun, ia juga boleh ditawarkan dalam pakej ini.
Telefon 5G hanya RM120 untuk B40
Khas untuk golongan B40, kerajaan menambah subsidi sebanyak RM120 untuk mendapatkan telefon pintar 5G. Ia dibuka kepada 100,000 pendaftaran pertama. Sebanyak RM12 juta disediakan untuk menyediakan subsidi ini.
Dengan subsidi RM120 untuk B40, pembeli yang layak hanya perlu membayar RM120 untuk peranti berharga RM240 bersama kontrak pelan 24-bulan. Tetapi jika harga telefon lebih murah contohnya RM200, pembeli hanya perlu membayar RM80 kerana subsidi kekal diberikan sebanyak RM120.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran Pakej 5G Rahmah yang sebenar, kita perlu tunggu pengumuman rasmi daripada telco. Ia pasti akan diumumkan selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2023.