Kita sudah menghampiri suku ke-4 tahun 2023. Dalam video ini, saya nak kongsikan kepada anda kemas kini kepada pelan pascabayar berbaloi yang boleh anda langgan untuk bajet bawah RM100. Perlu diingatkan yang dalam pascabayar, anda turut dikenakan cukai SST sebanyak 6%. Jadi pascabayar yang anda nak langgan mestilah bawah harga RM94.
Ini adalah kesinambungan kepada “5 pascabayar terbaik dengan bajet RM100” yang kami terbitkan dalam bulan Mei 2023 dulu.
Celcom
Penawaran Celcom saya rasakan agak mahal. Pascabayar Celcom terbahagi kepada 2 iaitu Celcom Mega dan Celcom Xpax Postpaid.
Untuk kategori Celcom Mega, satu-satunya pelan bawah RM100 yang saya temui adalah Celcom Mega 80. Mereka sembunyikan pelan ini daripada muka depan laman web tapi anda masih boleh langgan di kedai dalam talian atau terus ke Blue Cube.
RM80/bulan anda dapat 50GB. Jadi kadar untuk setiap GB adalah RM1.60/GB. Berdasarkan laman T&C Celcom, pelan ini juga layak terima pas 5G percuma ataupun anda boleh langgan pas 5G Booster berserta kuota tambahan 60GB pada tambahan RM10/bulan. Cumanya, kuota tambahan 60GB ini tidak boleh dikongsi melalui hotspot.
Jangan lupa untuk manfaatkan ciri Freedom Add-Ons yang boleh berikan manfaat tambahan pada pelan langganan anda. Contohnya Mega 80 layak untuk dapatkan kuota tambahan 20GB kalau anda setuju untuk ditambat di bawah kontrak selama 12 bulan.
Kemudian kita pergi ke Celcom Xpax Postpaid. Dalam kategori ini saya pilih Xpax Postpaid 60. Ya, Celcom ada Postpaid Unlimited 75 tapi ia tidak layak untuk langgan pas 5G Booster. Jadi, kalau anda tak perlukan 5G, anda boleh pilih pelan itu dan kalau perlukan 5G, Xpax Postpaid 60 adalah jawapannya kerana anda beroleh 5G booster secara percuma.
Anda juga boleh dapat kuota tambahan 10GB percuma sekiranya anda setuju untuk ditambat di bawah kontrak selama 12 bulan di bawah Freedom Add-Ons. Kemudian, ada juga promosi sehingga 2 Oktober 2023 yang berikan 60GB kuota tambahan kepada sedia ada untuk jadikan kuota terkumpul menjadi 110GB sepanjang tempoh promosi itu.
Pada saya penawaran Celcom bukan saja agak mahal, malah kompleks.
Digi
Untuk telco kuning, Digi, saya kenal pasti dua pelan yang berbaloi untuk dilanggan kerana satu pelan ini sangat berbaloi sementara promosi sedang berjalan sementara satu lagi bila berada di luar apa-apa promosi.
Yang pertama adalah Digi Postpaid 90 yang ditawarkan pada harga RM90 dan anda beroleh kuota Internet sebanyak 60GB yang boleh digunakan untuk 4G dan juga 5G. Melalui promo 5G Booster Bonanza, anda boleh tambah RM10/bulan untuk naik taraf kuota kepada 150GB. Daripada RM1.50/GB, terus nilai pelan anda jadi RM0.60/GB. Berbaloi-baloi. Namun promo ini cuma berlangsung sehingga 2 Oktober 2023. Harap-harap Digi bolehlah panjangkan tempoh promosi ini ye.
Anda juga beroleh panggilan tanpa had ke semua rangkaian bersama-sama 300 unit SMS untuk dihantar.
Digi Postpaid 60 juga menaik untuk dipertimbang. Pada bulanan RM60/bulan, anda dapat 50GB kuota tapi tiada akses 5G diberikan. Kalau nak sambungan 5G, tambah RM10/bulan dan sehingga 2 Oktober 2023, anda akan nikmati kuoa 110GB. Jadi nilai kuota anda jadi RM1.20/GB untuk 4G sahaja dan RM1.40/GB jika bersama-sama pass 5G.
Tiada kuota SMS diberikan sebaliknya anda dikenakan caj RM0.10/SMS tapi anda dapat panggilan percuma ke semua rangkaian.
Seperti Celcom, Digi juga ada fungsi Freedom Add-On. Ia membolehkan anda dapatkan manfaat tambahan dengan syarat anda diikat kontrak sama ada 12 bulan ataupun 24 bulan.
Contohnya, Digi Postpaid 90 boleh langgan Add-On Extra Internet untuk dapatkan 60GB data tambahan dengan kontrak selama 24 bulan.
Maxis
Maxis Postpaid cuma ada 1 sahaja pelan bawah RM100 iaitu Maxis Postpaid 79. Pelan selepas itu adalah bermula RM109. Maxis Postpaid 79 boleh dilanggan pada harga RM79/bulan dan ia berikan kuota sehingga 80GB + 40GB.
Bahagian 80GB boleh digunakan di kedua-dua 4G dan 5G manakala 40GB hanya untuk 5G sahaja. Hal ini bermakna sekiranya anda tinggal di kawasan yang cakupan 5G-nya kuat, anda berpotensi beroleh sehingga 120GB data sekiranya sebaliknya, anda mungkin menikmati 80GB sahaja. Makanya, nilai kuota anda berada dalam julan antara RM0.66/GB sehingga RM0.99/GB.
Anda juga boroleh manfaat panggilan dan SMS tanpa had ke semua rangkaian.
Hotlink juga ada penawaran hampir serupa. Saya pilih Hotlink Postpaid 70. Konsepnya sama seperti Maxis Postpaid, ia adapat 70GB data 4G/5G dan tambahan 35GB untuk 5G sahaja. Anda juga dapat panggilan suara dan SMS tanpa had.
Satu perkara menarik adalah fungsi Roam Like Home percuma iaitu anda guna kuota sedia ada di Singapura, Thailand, dan Indonesia.
Uni5G
Pelan paling mahal di Uni5G adalah Uni5G Postpaid 89. Ia berikan anda data tanpa had 4G dan 5G pada kelajuan penuh. Anda juga dapat panggilan tanpa had tapi SMS dikenakan caj sebanyak RM0.15/unit.
Pelan Uni5G Postpaid 65 juga mungkin boleh anda pertimbangkan kerana ada promosi sedang berjalan sekarang. Harga yang disenaraikan adalah RM65/bulan tapi sementara promosi sedang berjalan, anda boleh langgan pada RM55/bulan. RM55 untuk 60GB adalah RM0.91/GB. Agak berbaloi untuk pelan pascabayar.
Anda juga beroleh kuota tambahan 10GB untuk hotspot. Kemudian, panggilaan adalah tanpa had manakala SMS dikenakan bayaran RM0.15/unit.
Satu lagi promo sedang berjalan adalah, apabila anda langgan Unifi Home Broadband, anda boleh tukarkan kuota 60GB tadi jadi tanpa had selama 12 bulan.
U Mobile
U Mobile ada tiga penawaran Postpaid iaitu U Postpaid 38, U Postpaid 68, dan U Postpaid 98. Untuk bajet bawah RM100, U Postpaid 68 boleh dipertimbangkan.
Penawaran U Mobile agak menarik kerana anda beroleh kuota 100GB berkelajuan tinggi untuk 4G dan 5G, tak perlu langgan apa-apa pas tambahan. Ia jadikan harga per GB adalah RM0.68/GB. Berbaloi juga.
Lain-lain manfaat adalah anda dapat panggilan tanpa had ke semua rangkaian dan kuota perayauan percuma sebanyak 15GB untuk digunakan di 63 negara.
Yes 5G
Saya kenal pasti 2 pelan yang berbaloi untuk dipertimbangkan daripada Yes 5G. Yang pertama adalah Yes 5G Power 35 dan yang kedua Yes 5G Infinite Basic.
Memang saya katakan kalau bawah RM50, lebih baik usyar prabayar. Tapi yang ini lain macam kerana Power 35 berikan 100GB data berkelajuan tinggi tanpa FUP keras dan boleh diguna pada 4G dan 5G semuanya pada harga RM35 sahaja. Boleh hotspot pulak tu guna data 100GB tu. Menarik! Oh ya, anda juga dapat panggilan tanpa had ke semua rangkaian.
Pelan yang kedua adalah Infinite Basic RM58/bulan. Pelan ini berikan anda kuota dan kelajuan tanpa had di 4G dan 5G beserta panggilan tanpa had. Kuota untuk hotspot pula adalah 20GB. Agak mencukupi pada pandangan saya. Kalau anda tanya saya kenapa tak ambil Infinite Standard 88, saya kata penawaran mereka sama sahaja kecuali pada kuota hotspot.
Infinite Standard bagi anda kuota hotspot 50GB. Itupun kalau anda boleh habiskan 50GB dalam masa sebulan. Strategi yang saya sarankan adalah, kalau tak cukup, anda boleh langgan kuota hotspot tambahan pada harga serendah RM10. COntohnya Infintie Postpaid Hotspot 30GB harganya RM30 dan ditambah RM58/bulan dah jadi sama macam pelan Infinite Standard.
Kalau rasa-rasa nak jimat, bolehlah skip pembelian kuota tambahan bulan itu dan jimat RM30.
Kesimpulan
Baiklah itu sajalah perkongsian saya tentang pelan pascabayar yang menarik untuk bajet bawah RM100. Yang saya perasan, telco yang biasa orang bising pasal coverage kurang mantap, adalah telco yang tawarkan pelan 5G pada harga yang lebih murah dan lebih mudah difahami.
Telco yang gah dengan cakupan besar-besar ini semuanya berbelit-belit sikit penawarannya.
Apa pendapat anda? Kalau ada apa-apa soalan, sila tanya dalam ruangan komen kat bawah, nanti saya cuba jawab.
Terima kasih kerana menonton.