Xiaomi telah melancarkan telefon pintar mampu milik, Redmi 12 pada bulan Julai lepas. Ia tiada sokongan 5G dengan harga bermula dari RM599 bersama storan 128GB. Kini Xiaomi Malaysia mengumumkan model baru dengan sokongan 5G, tetapi harga tidak semurah versi 4G.
Agak menarik apabila rekaan dan pilihan warna bagi Redmi 12 5G adalah sama dan serupa dengan versi 4G. Malah spesifikasi juga tidak jauh berbeza, selain sokongan 5G.
Harga dan Ketersediaan
Di Malaysia, hanya ada satu varian Redmi 12 5G dijual dengan harga rasmi berikut:
- Redmi 12 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,099
Bagaimanapun, ia tidak dijual secara terbuka di kedai-kedai atau pengedar peranti Xiaomi. Sebaliknya, ia hanya terdapat dengan tawaran syarikat telekomunikasi sahaja. Buat masa ini, Redmi 12 5G ditawarkan oleh CelcomDigi, dan akan ditawarkan Yes 5G pada akhir September.
Hanya RM49 dengan pelan Celcom Mega 98 dan Digi Postpaid 90
CelcomDigi kini menawarkan Redmi 12 5G dengan pelan pascabayar mereka dan kontrak 24-bulan. Pelanggan hanya perlu membayar RM49 untuk mendapatkan Redmi 12 5G, bersama kontrak pelan Celcom Mega 98 atau pelan Digi Postpaid 90.
Kedua-dua pelan ini memiliki kuota 60GB berkelajuan pantas, dengan akses 5G percuma. ia turut disertakan panggilan tanpa had ke talian tempatan. Bagaimanapun, semakan di laman web Celcom dan Digi menunjukkan, pengguna perlu membayar bayaran pendahuluan sebanyak RM360 di Celcom dan RM270 di Digi. Bayaran ini akan direbatkan ke dalam bil pengguna di masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut tentang tawaran ini, layari laman web Celcom dan Digi.
Spesifikasi Redmi 12 5G
Telefon pintar dengan sokongan 5G ini menggunakan cip terbaru, Snapdragon 4 Gen 2 5G 4nm, berbanding cip MediaTek Helio G88 6nm di Redmi 12 4G. Prestasinya juga lebih baik kerana menggunakan ram LPDDR4X sebanyak 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB. Kad mikroSD sehingga 1TB diterima untuk meluaskan storan.
Skrin pula jeniS LCD berukuran 6.79-inci HD Penuh, berlubang kecil di dahi dengan kadar penyegaran adaptif sehingga 90Hz dan kecerahan setinggi 550 nits. Belakangnya diperbuat daripada kaca, memberi rupa premium walaupun ia adalah peranti kelas permulaan.
Kamera hadapan 5MP F2.2 ditempatkan di dalam lubang kecil di dahi skrin. Kamera di belakang pula ada dua, gabungan kamera utama 50MP F1.8 dan kamera potret 2MP F2.4. Agak ketinggalan kerana Redmi 12 4G disertakan kamera ultralebar.
Bateri pula dibekalkan dengan kapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W menerusi USB-C. Sistem bunyi hanya mono dan ia masih ada jek audio 3.5mm. Pengimbas capjari pula ada di dalam butang kuasa di sisi. Xiaomi juga menyatakan bahawa Redmi 12 5G adalah peranti kalis percikan air IP53.
Sistem operasi yang digunakan adalah MIUI 14 berasaskan Android 13. Terdapat tiga warna disediakan untuk pasaran Malaysia iaitu perak, biru dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Redmi 12.
Pada harga yang serupa RM1,099, Xiaomi turut menawarkan model Redmi Note 12 5G dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Ia dikuasakan cip Snapdragon 4 Gen 1 5G 6nm tetapi memiliki skrin AMOLED 120Hz. Bateri pula 5,000mAh dan menyokong pengecas 33W.