Walaupun masih dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, Huawei masih tidak berhenti menghasilkan produk baru. Kini mereka mengumumkan ketibaan jam pintar baru, siri Huawei Watch GT 4. Secara ringkas, tidak banyak naik taraf diberikan tetapi ia kini tampil lebih bergaya.
Huawei turut mengumumkan lantikan Sir Mo Farah dan Pamela Reif, sebagai duta untuk produk boleh pakai Huawei.
Seperti siri Huawei Watch GT 3 yang dilancar pada tahun 2021, siri Huawei Watch GT 4 tampil dalam dua saiz jam iaitu 46mm dan 41mm. Untuk menjadikannya aksesori fesyen, Huawei mengenakan rekaan yang berlain dari kebiasaan untuk jam ini.
Rupa Lebih Bergaya
Bagi Huawei Watch GT 4 46mm, ia dikenakan badan jam berbentuk lapan segi atau oktagon yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Skrin AMOLED padanya berukuran 1.43-inci dengan resolusi 466×466, memberi kepadatan piksel 326.
Hayat bateri pula sehingga 14-hari maksima, atau 8-hari penggunaan biasa. Manakala dengan paparan sentiasa hidup (Always On Display), ia mampu bertahan sehingga 4 hari. Jam ini boleh dicas wayarles, secara Qi ataupun pengecas magnetik yang disertakan.
Terdapat empat jenis tali jam disediakan untuk model 46mm, iaitu tali besi kelabu, tali kain hijau, tali kulit coklat dan tali getah hitam. Ia menggunakan tali standard yang mudah ditukar ganti.
Untuk Huawei Watch GT4 41mm yang lebih kecil, ia memiliki badan bulat yang berbentuk seperti loket. Skrin AMOLED lebih kecil, hanya 1.32-inci tetapi resolusi serupa 466×466, memberikan kepadatan piksel lebih tinggi, 352 PPI.
Dengan badan kecil, hayat bateri juga lebih pendek iaitu separuh daripada 46mm. Ia mampu bertahan sehingga 7-hari maksima, 4-hari penggunaan biasa atau 2-hari dengan paparan sentiasa hidup. Cara mengecas serupa, iaitu wayarles atau magnetik.
Bagi model 41mm, ada empat jenis tali jam boleh dipilih antara tali besi perak, tali besi emas, tali kulit putih dan tali getah hitam.
Terdapat dua butang di sisi jam ini. Di atas, ada butang beroda yang boleh ditekan untuk membuat pilihan. Di bawah pula ada butang tekan yang boleh ditetapkan arahan atau aplikasi untuk dilancar.
Memantau aktiviti kecergasan dan kesihatan
Jam pintar masakini penuh dengan fungsi untuk kecergasan dan kesihatan. Bagi Huawei Watch GT 4, ia kini dilengkapi sistem Huawei TruSeen 5.5 yang menjejak kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah, waktu tidur dan tekanan mental pengguna.
Sistem TruSleep 3.0 memantau tidur pengguna untuk memberi laporan kualiti tidur. Pengguna wanita pula boleh menjangkakan waktu haid dan kesuburan melalui data terkumpul dan algoritma yang terdapat di dalam jam.
Aktiviti kecergasan pula boleh dijejak menerusi pilihan lebih 100 mod aktiviti, termasuk berjalan, berlari, berbasikal dan berenang dengan keupayaan kalis air 5 ATM. Huawei turut menyediakan paparan Activity Rings 2.0 untuk pengguna mencapai sasaran kecergasan harian. Pengguna boleh juga memanfaatkan fungsi GPS dan navigasi terbina di dalam.
Fungsi pintar di tangan
Selain memantau aktiviti kecergasan, jam Huawei Watch GT 4 boleh menjadi peralatan sambungan telefon pintar. Antaranya dengan pemain muzik terbina yang boleh menyimpan lagu untuk dimainkan, tanpa bersambung ke peranti. Terdapat juga kalendar untuk membantu jadual kerja dan kehidupan pengguna.
Pengguna Huawei Watch GT 4 juga boleh menjawab panggilan dan bercakap terus di jam, tanpa mengeluarkan telefon. Di samping itu, ia juga menyediakan fungsi membalas mesej dengan mudah dari muka jam.
Lebih mudah lagi, jam Huaei Watch GT 4 serasi digunakan bersama peranti Android atau iOS. Tidak perlu risau untuk bertukar-tukar telefon dengan jam yang sama. Hanya pasang aplikasi Huawei Health untuk memastikan semua data tersimpan dan boleh diakses bila-bila masa.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Huawei Watch GT 4.
Bacaan Berkaitan
- Huawei Watch Fit Istimewa, jam terbina GPS dengan sensor Truseen dan Trusleep dipertingkat
- Siri Huawei Watch 4: Jam tangan pintar dengan ECG dan sokongan eSIM
- Huawei Watch Ultimate perluas pilihan warna, harga tetap sama, tempahan bermula sekarang.
- Huawei Watch Buds boleh didapati di Malaysia pada harga RM2,199
- Huawei Watch GT Cyber, jam tangan dengan bekas boleh tukar kini di Malaysia pada harga bermula RM999