Kalau ikutkan perancang asal, selepas pelancaran iMac M1 24-inci pada 2021, Apple akan memperkenalkan versi iMac Pro yang lebih besar dengan cip M2, sebelum iMac M3.
Namun menurut satu sumber, iMac 24-inci baharu yang dikemas kini ini kemungkinan akan dilancarkan pada penghujung Oktober (atau awal November) dengan melangkau M2 dan terus kepada cip M3.
Tapi kenapa ya Apple tidak meneruskan perancangan untuk iMac Pro sebaliknya memperkenalkan iMac M3?
Dikatakan pengenalan iMac Pro terpaksa ditangguhkan disebabkan kos pembuatan untuk iMac Pro adalah tinggi. Hasilnya, Apple akan menggabungkan Paparan Studia dan Mac Studio sebagai sebagai alternatif untuk iMac baharu nanti.
Ada juga yang mengatakan kelewatan pengenalan iMac ini kerana Apple lebih mengutamakan penghasilan cip A17 yang digunakan dalam iPhone 15 Pro berbanding M3, ini kerana kedua-duanya menggunakan proses pembuatan cip 3nm baharu.
Kali terakhir Apple melancarkan iMac adalah pada April 2021 yang dijana cip M1 dengan pilihan 8-teras CPU dan sehingga 8-teras GPU. Harga semasa iMac M1 ini bermula RM5,599 dengan RAM 8GB dan storan 256GB.
Jadi adakah benar Apple akan melancarkan iMac M3 pada hujung bulan ini atau tidak? Kita kenalah tunggu dan lihat.