Tahun lepas, iQoo Malaysia menjadi yang terawal membawa telefon pintar dengan kuasa Snapdragon 8 Gen 2. Mereka dilihat mahu mengulangi pencapaian ini apabila menyatakan akan menjadi yang pertama melancarkan telefon pintar menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3.
Dalam muat naik di Facebook, iQoo Malaysia akan melancarkan iQoo 12 yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 tidak lama lagi. Ia adalah telefon pintar kelas flagship yang dikatakan memiliki rekaan sangat menarik dan spesifikasi di luar jangkaan.
iQoo 12 telah dilancar di China awal bulan ini, dengan dua model diperkenal iaitu iQoo 12 dan iQoo 12 Pro. Ia tiada perbezaan dari segi prestasi kerana menggunakan cip yang serupa, tetapi berlainan pada skrin dan bateri.
Di India pula, iQoo 12 akan dilancarkan pada 12 Disember tetapi iklan tentangnya sudah lama tersebar. Bagaimanapun, ia tidak berkongsi sebarang maklumat tentang iQoo 12 Pro. Dipercayai, hanya versi bukan Pro akan dilancar di India dan ia berkemungkinan besar adalah pilihan yang sama untuk pasaran Malaysia juga, seperti iQoo 11 tahun lepas.
Tiada sampah, dijamin kemaskini 4 tahun
CEO iQoo India, Nipun Marya ada berkongsi tentang jaminan yang diberikan untuk iQoo 12. Antaranya adalah, iQoo 12 akan datang siap dengan sistem operasi FunTouch OS 12, berasaskan Android 14. Malah, iQoo memberi jaminan akan memberi kemaskini OS sebanyak 3 kali dan kemaskini keselamatan selama 4 tahun untuk iQoo 12.
Di samping itu, iQoo 12 tidak akan dipasang dengan ‘Hot App’ dan ‘Hot Games’. Ini merujuk kepada aplikasi sampah atau ‘bloatware’ yang tidak penting tetapi telah dipasang di dalam telefon. Pendek kata, iQoo 12 akan bebas bloatware.
Spesifikasi iQoo 12
Selain dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3, prestasi tinggi iQoo 12 turut disumbang dengan penggunaan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Penyingkiran haba dibantu oleh sistem penyejukan kebuk wap seluas 6,000mm/s, 40% lebih luas berbanding model sebelumnya.
Paparannya jenis AMOLED seluas 6.78-inci, dengan resolusi 2800×1260 dan kadar penyegaran 144Hz. Kecerahan skrin ini boleh mencecah 3,000 nits. Pengimbas capjari ada di dalam skrin, manakala kamera hadapan 16MP dimuatkan di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Kapasiti bateri biasa sahaja iaitu 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 120W melalui USB-C 2.0. Sistem bunyi stereo dihasilkan melalui dua speaker yang menembak ke tepi.
Kamera pada iQoo 12 agak menarik. Ia menggunakan gabungan kamera utama 50MP OIS, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 64MP. Kamera ini juga diberikan kemampuan zum digital 100x.
Terdapat tiga warna disediakan untuk iQoo 12 iaitu putih, merah dan hitam. Sementara menunggu kedatangannya ke Malaysia, semak maklumat tentang iQoo 12 di laman web iQoo China.
[Sumber: iQoo]