Sebagai langkah mengukuhkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, Auto Bavaria dan DC Handal bekerjasama untuk mengembangkan akses kemudahan pengecasan pantas di seluruh Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Melalui kerjasama tersebut, Auto Bavaria, selaku rangkaian pengedar terbesar BMW Group Malaysia dan Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal), sebuah syarikat penyedia penyelesaian pengangkutan lestari turut berhasrat memupuk penyelesaian mobiliti mampan untuk masa hadapan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, “Penambahan kemudahan pengecasan pantas EV sejajar dengan agenda negara untuk memperkukuhkan ekosistem kendaraan elektrik.”
“Kerajaan perlu merangka dasar perindustrian yang strategik untuk menggalakkan pertumbuhan rantaian bekalan kenderaan elektrik di dalam negara bagi merangsang industri pembuatan,” ujar beliau.
10 tapak pengecasan EV
Auto Bavarian akan bekerjasama rapat dengan DC Handal, yang memiliki kepakaran dalam teknologi peralatan bekalan EV (EVSE) untuk menyediakan 10 tapak kemudahan pengecasan pantas di lokasi utama sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan rancangan penambahan lokasi pada masa hadapan.
Antara lokasi tapak pengecasan EV:
- Bamboo Hills, Kuala Lumpur
- The Vertical, Bangsar South
- Wisma MCA, Jalan Ampang
- Wisma UOA, Damansara II
- UOA Business Park, Glenmarie
- Choo Plaza, Pulau Pinang
Kadar pengecasan DC Handal adalah sebanyak RM1.50 untuk setiap kWj. Pembayaran untuk perkhidmatan pengecasan boleh dilakukan melalui kad kredit, kad debit serta pembayaran elektronik di terminal OCBC.
Sama seperti membayar petrol, kad akan dikenakan caj pra-kebenaran sebanyak RM50 apabila menggunakan pengecas. Sebagai alternatif, pembayaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi JomCharge dan ChargEV.
Tiada promosi khusus
Walaupun kedua-dua syarikat telah mengumumkan kerjasama, pun begitu setakat ini tiada sebarang tawaran atau promosi khusus untuk pemilik BMW.
Namun, BMW Group Malaysia sudah menawarkan langganan BMW Charging yang membolehkan pengguna mendapat 800 kredit JomCharge pada kadar diskaun RM640. Kredit tersebut boleh digunakan pada pengecas DC Handal, selain rangkaian JomCharge dan Gentari.
Sehingga kini, BMW Group Malaysia telah menyediakan lebih 1,700 kemudahan pengecasan dalam rangkaiannya menerusi kerjasama dengan ChargEV, Yinson Greentech, JomCharge, Gentari, ParkEasy, ChargeN’Go, ChargeSini, Go-To-U, dan FlexiParking.