Nothing telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, Phone 2 pada Julai lepas. Jika Nothing Phone 1 diperkenal dalam satu model, perkara tersebut mungkin berubah untuk Phone 2 kerana Nothing dikatakan akan melancarkan sebuah telefon lebih mampu milik dalam barisan Phone 2 yang dinamakan Nothing Phone 2a.
Pelancarannya dikatakan akan berlangsung pada hujung Februari ketika Mobile World Congress (MWC) 2024 di Barcelona. Menjelang pelancarannya, telah bocor dalam talian apa yang dipercayai lakaran Phone 2a, menunjukkan reka bentuk panel belakangnya tidak sama seperti telefon Nothing sebelum ini.
Lakaran tersebut dikongsi oleh pengguna @evowizz di laman X miliknya, dengan dia menyatakan Phone 2a ini mendukung nombor model A142 dan nama kod Pacman/Aero (dactyl).
Berdasarkan video lakaran yang dikongsi, kelihatan panel belakangnya masih mengekalkan penggunaan lampu Glyph, tetapi dengan lampu lebih sedikit. Ia hanya mempunyai 3 jalur lampu kecil yang mengelilingi modul kamera, yang mana amat berbeza dengan Phone 2 yang mempunyai lampu Glyph pada keseluruhan panel belakang.
Selain itu, kedudukan kamera Phone 2a ini juga berbeza dengan diletakkan di tengah-tengah dan bukannya di atas kiri seperti rekaan iPhone di Nothing Phone 1 dan Phone 2. Sementara itu, di bahagian bawah panel belakang pula terdapat lakaran yang kelihatan seperti komponen penyejukan. Tidaklah pasti ia adalah sebahagian daripada rekaan ataupun ia adalah komponen dalamannya.
Dari segi spesifikasi, Phone 2a dikatakan akan ditunjangi oleh cip kelas pertengahan MediaTek Dimensity 7200 dan hadir dengan paparan berukuran 6.7 inci, yakni sama seperti Nothing Phone 2.
Lain-lain maklumat setakat ini masih tandus. Nothing juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaannya. Namun, lebih banyak maklumat mungkin akan dikongsi pada masa terdekat ini memandangkan pelancarannya akan diadakan tidak lama lagi.
[Sumber: GSMArena]