Asus telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon gaming terbaru, ROG Phone 8 di pameran CES 2024. Malah, Asus telah berkongsi sedikit gambaran belakang telefon tersebut, memberi petunjuk bahawa telefon gaming terbaru ini akan menerima pengubahsuaian terbesar buat kali pertama sejak ROG Phone dihasilkan.
Bagaimanapun, kini sudah terdedah rupa sebenar dan menyeluruh telefon gaming yang bakal dilancarkan ini dan ia kelihatan sangat mengecewakan, untuk peminat gaming di telefon pintar.
Dua model ROG Phone 8
Menurut laporan Windows Report, terdapat dua telefon pintar gaming yang akan diperkenal kelak iaitu ROG Phone 8 dan ROG Phone 8 Pro. Ini tidaklah mengejutkan kerana ia telah sekian lama diamalkan Asus untuk model-model sebelum ini.
Laporan tersebut turut berkongsi beberapa spesifikasi utama telefon tersebut. Antaranya, kedua-dua telefon akan dilengkapi skrin baru AMOLED FHD+ berukuran 6.78-inci, dengan kadar penyegaran sehingga 165Hz dan model Pro akan menggunakan panel LTPO yang memiliki kadar penyegaran adaptif. Kecerahan skrin pula setinggi 2,500nits dan ia dilapisi Corning Gorilla Glass Victus 2 untuk tahan calar.
Tiada lagi skrin penuh tanpa takuk dan lubang
Tetapi perkara yang sangat mengecewakan peminat gaming adalah skrin ini memiliki lubang kecil di atasnya, untuk memuatkan kamera hadapan. Ini kerana telefon ini menggunakan bingkai sangat nipis seperti telefon pintar biasa. Maka, tiada lagi skrin penuh tanpa takuk dan lubang, serta ia mungkin juga mengorbankan pembesar suara.
Seperti yang kelihatan pada gambar rasmi Asus, modul kamera belakang diubahsuai kepada dua barisan, tidak lagi satu barisan seperti ROG Phone selama ini. Manakala logo ROG di belakang, dilengkapi lampu RGB.
Sudah pasti Asus akan menggunakan cip terbaik iaitu Snapdragon 8 Gen 3 pada ROG Phone 8. Ia dikhabarkan akan datang bersama RAM LPDDR5X sehingga 24GB dan storan UFS 4.0 sehignga 1TB. Sistem operasi pula menjalankan Android 14 bersama antaramuka ROG UI.
Bateri lebih kecil dan kalis air
Satu perkara serba baharu yang akan datang pada ROG Phone 8 adalah ia kalis air dan debu IP68. Tetapi kekurangan lain adalah kapasiti bateri dikurangkan kepada 5,500mAh.
Perkara terbesar yang dilihat mahu dibawa Asus kali ini adalah di bahagian kamera. Untuk ROG Phone 8 Pro, ia akan datang bersama kamera utama 50MP yang dipertingkat dengan sensor Sony IMX890, bersama kamera ultralebar 13MP dan kamera telefoto 32MP yang berupaya mengezum optikal 3x. Lubang skrin di hadapan pula memuatkan kamera swafoto 32MP.
Kipas penyejuk dan aksesori baharu
Dengan rekaan serba baharu, Asus dijangka akan memperkenal barisan aksesori baru. Paling utama adalah kipas penyejuk AeroActive Cooler. Ia dilihat masih mengekalkan penggunaan sumber kuasa daripada USB-C di sisi telefon, tetapi kini berwarna hitam sepenuhnya.
Sarung telefon juga datang dalam rupa yang boleh dicabut sebahagiannya, supaya boleh melindungi sepenuhnya atau dibuka untuk memberi ruang kepada AeroActive Cooler dipasang. Terdapat juga sarung dengan sisi lebih tebal untuk menyerap hentakan lebih baik.
Asus akan melancarkan telefon pintar ROG Phone 8 dann ROG Phone 8 Pro di pameran CES 2024, pada 8 Januari 2024 pukul 3 petang waktu Pasifik, bersamaan hari Selasa 9 Januari pukul 7 pagi waktu Malaysia. Sementara itu, anda boleh dapatkan beberapa maklumat tentang pelancaran ini di laman web Asus CES 2024.
[Sumber: Windows Report]