Selamat datang ke Anugerah SoyaCincau 2023 untuk kategori kenderaan elektrik (EV). Dalam artikel ini saya akan bentangkan kepada anda
- EV paling berbaloi 2023
- SUV elektrik terbaik 2023
- Sedan elektrik terbaik 2023
- EV terbaik 2023
Pememenang-pemenang Anugerah SoyaCincau 2023 ini telah dipilih oleh pasukan pencipta kandungan SoyaCincau.com dan SoyaCincau BM. Antara yang terlibat ialah Alexander Wong, Najib Hamid, Raymond Saw, Jonathan Lee, Hanif Azrai, Putra Aziz, Sharil Abdul Rahman, Chief Chapree, dan Sudarshan Duke bersama-sama penglibatan daripada sayap sosial kami.
EV paling berbaloi 2023
Anugerah Emas: BYD Dolphin
BYD Dolphin adalah EV kedua yang dipasarkan pada harga RM100,000 selepas Neta V. Pada harga bermula RM99,900 model ini menjadikan kereta elektrik lebih mudah diakses rakyat Malaysia. Tidak terhad kepada harga yang lumayan murah, pengguna juga beroleh sebuah kereta elektrik yang lengkap daripada segi ciri keselamatan dan ciri bantu pandu.
Varian paling rendah ada jarak kembara sekitar 350km dengan motor elektrik 94hp dan 180Nm. Varian paling berkuasa iaitu Premium Extended Range, ada motor 201hp dengan 310Nm. 0 hingga 100km/j cuma ambil masa 7 saat sahaja.
Ciri bantu pandu yang anda terima sama merentasi varian. Daripada yang pasif hinggalah kepada pasif seperti auto cruise dengan stop-go. Anda boleh baca lebih lanjut tentang BYD Dolphin di sini.
Anugerah Perak: Tesla Model 3
Tesla Model 3 dilihat penganggu pasaran kereta EV kerana harga jualannya adalah lebih rendah daripada jangkaan. Tesla Model 3 dilancarkan pada harga bermula RM189,000. Ia RM10,000 lebih murah dariapda versi SUV Model Y.Untuk varian Long Range, Tesla Model 3 adalah EV termurah yang ada jarak kembara melebihi 600km pada harga RM218,000 sahaja.
Untuk jarak kembara sebegitu, ia berlawan dengan Ioniq 6 RWD dan Mercedes EQE 350+ yang masing-masing berharga RM289 ribu dan RM420 ribu.
Dengan Tesla Model 3, anda beroleh kenderaan memang visinya tepat ke arah ekosistem EV. Bahagian kabinnya moden dan radikal rekaannya. Contohnya, anda kekurangan butang fizikal untuk berinteraksi dengan kereta. Saya boleh katakan 99% melalui paparan depan. Saya pernah nampak Tesla tersekat sewaktu nak keluar parking kerana nak buka tingkap sewaktu nak buat pembayaran.
Sekiranya BYD Dolphin untuk rakyat yang mampu tampung kereta bernilai RM100 ribu, Tesla Model 3 pula adalah untuk RM200 ribu. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Tesla Model 3 di sini.
Anugerah Gangsa: BYD Atto 3
Sekiranya tiada BYD Dolphin, BYD Atto 3 adalah penggantinya sebagai EV value-for-money untuk rakyat Malaysia pada harga bermula RM150 ribu. BYD Atto 3 adalah SUV elektrik yang ada ruang luas, tayar lebih besar, dan tinggi berbanding Dolphin.
Varian termurah ada output kuasa separas varian termahal Dolphin iaitu 201hp dan 310Nm. Satu isian penuh bateri berikan jarak kembara 345km untuk varian Standard manakala Extended Range ada bateri lebih besar untuk bawanya sejauh 420km.
Ciri bantu pandu pasif dan aktifnya lengkap dan sama merentasi varian untuk anda gunakan ciri pemanduan separa autonomi tahap 2. Untuk harga RM150 ribu dan anda dapat kenderaan berprestasi menyamai kenderaan petrol harga lebih RM200 ribu, ini sudah bagus! Anda boleh baca lebih lanjut tentang BYD Atto 3 di sini.
SUV Elektrik Terbaik 2023
Banyak kenderaan elektrik bermula dengan varian SUV kerana cara binaanya yang meletakkan bateri di bahagian lantai kaki menyebabkan rangka sedan sekalipun nampak tinggi. Sudahnya, bina SUV elektrik lebih mudah berbanding sedan elektrik.
Anugerah Emas: Smart #1
Smart #1 tiba agak lewat dalam tahun 2023. Ia boleh dikatakan SUV elektrik 2023 yang terakhir masuki jalan raya Malaysia. Makanya, persaingan yang dihadapinya daripada produk berjenama lain tentu sekali hebat.
Pakar automotif kami Jonathan Lee mengatakan yang Smart #1 adalah sebuah kereta yang baik sewaktu sesi pandu ujinya. Sewaktu memandu uji varian paling murah, Pro, dia menyifatkan dinamik pemanduan yang tegap di atas jalan raya termasuklah suap balik stereng yang linear serta responsif.
Motor elektirk yang menggerakkan varian Pro dan Premium adalah yang keluarkan output 268hp dan 243Nm. Untuk barga bawah RM200 ribu, ia adalah EV yang berkuasa tinggi. Smart #1 Pro memiliki jarak kembara sekitar 315km dan ia dijual pada harga RM189,000 dan kami lihatnya bersaing dengan Tesla Model Y.
Varian Brabus pula mempunyai motor yang lebih berkuasa pada 422hp dan 584Nm tork untuk jadikan 0-100km/j dalam masa 3.9 saat sahaja. Pada harga RM249,000 ini adalah EV paling pantas pada harganya. Ia boleh lawan drag dengan EV seperti Audi e-Tron GT Quattro ataupun Porsche Taycan 4S. Kalau saya ada benda nak diadu sekalipun, saiz butnya yang agak kecil, bawah 300L.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Smart #1 di sini.
Silver Award: Tesla Model Y
Pengumuman penjualan rasmi Tesla Model Y di Malaysia cetuskan huru-hara sebentar dalam pasaran Malaysia. Pengimport kelam kabut selaraskan harga kereta masing-masing yang mereka jual pada harga dua kali ganda daripada harga rasmi Tesla Model Y iaitu bermula bawah RM200,000. EV yang sedia ada pula mula garu kepala. Contohnya, Ora Good Cat, Hyundai Kona Electrik, Nissan Leaf yang harganya sekitar RM160 ribu.
Telsa Model Y dibina untuk kepraktikalan. Dilaporkan yang ruang butnya ada ruang 854L tapi cara kiraannya lain sikit daripada yang konvensional. Namun, saya yakin raung boleh gunannya sekurang-kurangnya sama dengan Bezza ataupun lebih. Anda juga dapat ruang penyimpanan depan 117L. Sebagai sebuah SUV, anda boleh yakin ruang kabin yang luas untuk pemandu dan juga penumpang.
Varian termurahnya ada jarak kembara 430km dengan pecutan 0.100km/j dalam masa 6.9 saat. Ia bukanlah EV biasa-biasa. Kalau ada duit lebih, varian prestasi tinggi boleh capai 100km/j dalam masa 3.7 saat pada harga RM289,000.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Tesla Model Y di sini.
Bronze Award: BYD Atto 3
Ini adalah EV paling laku di Malaysia. 1,000 unit telah selamat sampai ke tangan pembeli dalam masa 4 bulan sahaja (sumber). Sudah tentu 1,000 pembeli ini mempunyai sebab yang kukuh sewaktu mereka tempah BYD Atto 3 bukan.
Sewaktu dilancarkan, ia berhaga antara RM150 ribu hingga RM168 ribu dan terus jadi antara EV paling mampu milik di Malaysia. Ia tapau Hyundai Kona Elektrik dan juga Ora Good Cat pada segi spesifikasi yang ditawarkan pada harga lebih kurang sama.
Paling unik adalah skrin inforia boleh kilas daripada melintang kepada menegak. Ciri keselamatan juga adalah mewah termasuklah 7 beg udara beserta segala macam ciri bantu pandu pasif dan aktif.
Varian paling murah ada jarak kembara 345km dah mampu terima arus DC pada paras 70kW dan AC 7kW manakala varian Extended ada jarak kembara 420km. Untuk sebuah SUV, Atto 3 praktikal untuk perjalanan jauh. Ia ada ruang but 440L. Anda boleh baca lebih lanjut tentang BYD Atto 3 di sini.
Sedan Elektrik terbaik 2023
Anugerah Emas: Hyundai Ioniq 6
Ini adalah EV termurah dengan jarak kembar lebih 600km, selepas Tesla Model 3. Hyundai Ioniq 6 dijual pada harga bermula RM289,888 dan merupakan EV paling aerodinamik dalam pasaran setakat ini pada pekali geseran 0.21.
Sebagai perbandingan, purata pekali geseran kenderaan biasanya berada dalam jula 0.25 hingga 0.30. Pekali geseran rendah bermakna jimat tenaga diguna untuk potong angin. Hasilnya, anda boleh lihat badan yang berkontur terutamanya bahagian belakang ada identiti seperti Porshe 911. Varian yang lebih berkuasa boleh pecut ke 100km/j dalam masa 5.1 saat sekitar 2 saat lebih pantas daripada varian biasa tapi jarak kembara jadi lebih pendek pada 519km.
Sistem pengecasan Ioniq 6 adalah antara terpantas dalam industri dengan kemampuan menerima 350kW DC. 18 minit diperlukan untuk cas daripada 10 ke 80%. Bahagian kabin, anda dapat papan pemuka dwipaparan yang luas. Sistem audio Bose dan kemudahan plug 3 pin terus di dalam kabin tanpa sebarang penyesuai.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Hyundai Ioniq 6 di sini.
Anugerah Perak: BMW i5
Walaupun rupa macam kereta petrol, BMW i5 adalah sebuah sedan eksekutif yang berkuasa tinggi. Panjangnya yang lebih 5 meter buatkan ruang kabin amat selesa terutamanya untuk boss-boss yang ada pemandu peribadi.
Berharga hampir RM420 ribu, BMW i5 di bahagian kabin, anda dapat 18 speaker Bowers & Wilkins, kamera dalam kabin, dan BMW Interaction Bar untuk pengalaman kabin yang terbaik. Mewah adalah perkataan yang boleh gambarkan keadaan kabin BMW i5. Kerusinya menggunakan materi kulit Merino, kawalan iklim 4 zon, siling kaca, dan pengampai aktif.
Untuk pemandu, anda terima Driving Assistant Professional yang ada ciri pemanduan separa autonomi tahap 2 seperti Parking Assistant Plus dan Reversing Assistant. Untuk angka prestasi, BMW i5 ada 335hp dengan 430Nm tork. Pegun ke 100km/j ambil masa 6 saat.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang BMW i5 di sini.
Anugerah Gangsa: Tesla Model 3
Tesla ada tarikannya yang tersendiri kerana ia sering kali mencuri pandangan orang berada di sekeliling. Rekaannya futuristik, lain dari yang lain dan merupakah hasil visi Elon Musk. Pada harga RM218 ribu dengan jarak kembara 618km, ini adalah EV paling jauh jarak kembaranya di Malaysia pada harga sebegitu.
Tesla Model 3 di Malaysia adalah versi “Highland” dan negara kita adalah antara yang pertama terimanya di dunia. Antara naik taraf yang akan anda nikmati adalah sistem pengampai yang katanya kurangkan bunyi dan lebih selesa. Kaca akustik kini digunakan di keseluruhan kenderaan. Untuk redaman bunyi dalam kabin yang lebih baik.
Kerusi pemandu pula kini ada pengudaran khas dan sistem inforia berskrin lebih besar boleh dimanfaatkan di bahagian tengah kenderaan. Penumpang belakang pula terima skrin 8” untuk kemudahan. Dengan semua naik taraf ini, kami rasakan Tesla Model 3 layak duduk dalam senarai EV terbaik tahun 2023.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Tesla Model 3 di sini.
EV terbaik 2023
Anugerah Emas: BYD Dolphin
Kami lihat BYD Dolphin sebagai EV yang akan cuit ramai golongan. Golongan pertama adalah yang ada bajet RM100 ribu dan sedang pertimbangkan kereta petrol. Pada harga sebegini anda dapat kereta yang jauh lebih berkuasa.
Ia sekurang-kurangnya sama kuasa dengan semua kenderaan petrol 1.5L ataupun 1.0 Turbo ruji rakyat Malaysia seperti Honda City, Toyota Vios, Nissan Almera, Perodua Bezza, Ativa, dan yang seangkatan dengannya.
Golongan kedua adalah early adopter yang terbuka mencuba teknologi masa hadapan. Disamping mesra alam kerana tidak bebaskan asap, teknologi keselamatan yang disertakan amat lumayan. Di kenderaan petrol, RM100 ribu belum tentu ada dapat sistem bantu pandu pasif dan aktif setanding BYD Dolphin.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang BYD Dolphin di sini.
Anugerah Perak: Hyundai Ioniq 6
Daripada sedan elektrik terbaik, Hyundai Ioniq 6 terus duduki anugerah PERAK di EV terbaik keseluruhan untuk tahun ini. Ia duduk dibelakang BYD Dolphin sebagai EV berbaloi untuk dimiliki bajet RM250 ribu hingga RM300 ribu.
Pertama sekali, ia praktikal pada segi jarak kembara jauh lebih 500km walaupun varian paling murah. Ruang penyimpanan lebih 400L di belakang dan hampir 15L di bahagian depan.
Baterinya gunakan seni bina 800V, antara yang terbaik dalam industri setakat ini. Dalam kereta ada plug 3 pin untuk kemudahan. Anda boleh bawa kereta ini untuk perkhemahan.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Hyundai Ioniq 6 di sini.
Anugerah Gangsa: Smart #1
Smart lakukan kemunculan semula dalam pasaran Malaysia dan terus menambat hati pengguna dengan penawaran Smart #1. Bukan sahaja ia EV dengan DNA BMW pada harga berpatutan, malahan praktikal juga.
Smart #1 sesuai dijadikan kereta bandar kerana saiznya yang kompak. Jaraknya kembara yang agak pendek mungkin rencatkan niat yang ingin lakukan perjalanan jauh namun ia sokongan pengecasan DC 150kW untuk isi 80% dalam masa 30 minit.
Bahagian kabinnya lengkap dengan ciri menarik termasuklah coolbox di bahagian tengah kabin untuk anda letakkan minuman supaya kekal sejuk. Namun, ruangan butnya yang terhad pada 273L mungkin buatkan nak buat trip ke KLIA jadi sedikit payah.
Varian Brabus pula memang gempak. 3.9 sahaja untuk capai 100km/j pada harga tak sampai RM250 ribu. Bahagian kabin, anda dapat papan pemuka yang lebih canggih seperti kehadirah Heads-up Display dan pencahayaan dalam kabin RGB pastinya mengagumkan sesiapa yang tumpang kereta anda.
Jadi disebabkan ia mampu tarik golongan pengguna yang sensitif dengan harga serta golongan pengguna yang mahukan prestasi pada harga patut sekaligus, kami berikannya lencana gangsa.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang Smart #1 di sini.
Bacaan berkaitan
Anugerah SoyaCincau 2023: Telefon Pintar Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Tablet Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Laptop & Gajet terbaik tahun ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Telco dan Pelan Terbaik Tahun Ini
Anugerah SoyaCincau 2023: Kenderaan elektrik (EV) terbaik tahun ini