Jika sebelum ini pelanggan platform penstriman, Disney+ Hotstar Malaysia hanya boleh mencipta dua profil, namun kini tambahan lima lagi profil boleh dicipta di bawah satu akaun berdaftar. Kemas kini ini boleh digunakan pada pelbagai peranti termasuk Android, iOS, TV dan laman web.
Membuat tetapan profil Disney+ Hotstar Malaysia
Sekiranya anda merupakan pelanggan yang baru berdaftar dengan Disney+ Hotstar, anda akan diminta untuk mencipta profil utama semasa pendaftaran.
Profil utama adalah Profil pemilik akaun langganan. Profil utama tidak boleh dipadam atau ditetapkan dengan penilaian kandungan yang kurang daripada penilaian tertinggi.
Untuk pelanggan sedia ada pula, akan terpapar butang “+” untuk tambahan profil baharu. Ikuti langkah di bawah untuk menambah profil baharu:
- Pilih (+) ‘Tambah’.
- Pilihan avatar tersedia untuk profil.
- Masukkan nama profil.
- Tetapkan penilaian kandungan untuk profil.
- Pilih ‘Cipta Profil’ atau ‘Cipta Profil Kanak-kanak’.
Anda boleh menetapkan Profil Kanak-kanak yang terhad kepada kandungan berpenilaian G/PG dengan menggerakkan butang ke kanan. Pastikan anda menetapkan penilaian kandungan yang betul, kerana ia tidak boleh diubah setelah ditetapkan.
Untuk menetapkan kunci kawalan ibu bapa, anda boleh mencipta PIN 4-digit dan gunakan pin tersebut untuk mengakses semua profil dengan penilaian kandungan yang telah ditetapkan untuk 18+.
Anda juga mungkin akan diminta untuk menetapkan bahasa untuk kandungan pada Disney+ Hotstar apabila mengaktifkan profil anda buat kali pertama.
Untuk menukar antara profil pula, anda boleh melakukannya dengan langkah-langkah berikut:
- Pergi ke ‘Ruang Saya’ pada profil semasa.
- Pilih profil yang anda ingin tukar daripada senarai pilihan yang tersedia.
Harga langganan Disney+ Hotstar Malaysia
Bagi yang berminat untuk melanggan Disney+ Hotstar, platform penstriman itu menyediakan pakej langganan 3 bulan pada harga RM54.90. Ini bermakna anda hanya perlu membayar yuran langganan RM54.90 setiap 3 bulan.
Jika anda merupakan pelanggan Astro, anda boleh mendapatkan akses kepada Disney+ Hotstar melalui pek Astro terpilih seperti Pek Filem, Pek Platinum dan Pek Platinum 1.
Perkhidmatan penstriman juga ditawarkan melalui Unifi TV. Pelanggan boleh memilih Disney+ Hotstar sebagai tambahan pada harga RM16/bulan atau sebagai sebahagian daripada pakej TV terpilih termasuk Ultimate, Ultimate Plus, Ultimate Max, Movies dan Kids Pack.
Dari segi peranti, anda boleh menonton Disney+ Hotstar melalui peranti Android dan iOS serta melalui pelayar web seperti Chrome, Safari, Edge dan Firefox. Disney+ Hotstar juga boleh ditonton melalui Android TV, Chromecast dan Apple TV serta TV pintar terpilih daripada LG, Samsung, Hisense dan Toshiba.
[Sumber: Disney+ Hotstar]