Selain lawatan ke kedai OPPO Premium Flagship, kontinjen Malaysia turut dibawa ke kilang pengeluaran telefon OPPO yang letaknya di Dongguan, kira-kira 50 km ke utara bandar raya Shenzhen. Kemudahan pengeluar ini memiliki kawasan seluas 20 hektar dan memiliki lebih 10,000 kakitangan dalam pelbagai disiplin. Salah satu tempat yang dilawati adalah bahagian pengeluaran papan utama.
Persiapan rapi sebelum memasuki clean room
Satu barisan pengeluaran mampu hasilkan 10,000 papan sehari
Saya dibawa melawati salah satu daripada sembilan barisan pemasangan yang setiap satunya mampu menghasilkan 10,000 keping papan utama telefon sehari. Papan utama asalnya adalah satu papan litar kosong, dengan tanda-tanda khas tempat komponen-komponen akan dipaterikan oleh mesin seterusnya. Dalam kes OPPO, sekeping papan litar menempatkan empat papan utama.
Papan utama kosong bersedia untuk menerima komponen
Contoh papan yang selesai dipasang komponennya
Ia akan melalui sebaris mesin yang tugasnya adalah mematerikan komponen tertentu di tempat yang sudah ditetapkan. Misalnya ada mesin yang ditugaskan untuk memasang pemegang kad SIM, ada yang memasang CPU, ada yang mesang RAM, dan sebagainya.
Pegawai operator memastikan setiap mesin ada cukup bahan untuk lakukan tugasan
Komponen-komponen seperti pemegang kad SIM hadir dalam bentuk gegelung ini
Pemeriksaan kualiti dilakukan daripada masa ke masa secara rambang
Selepas semuanya diletakkan di tempat yang sepatutnya, papan itu akan memasuki satu mesin seperti sebuah “ketuhar”. Fungsi mesin tersebut adalah untuk memastikan bahan pelekat yang digunakan untuk melekatkan komponen pada papan utama lekat dengan sempurna.
Mereka melalui terowong dengan kepanasan 260° Celsius dan berisi gas nitrogen. Sebab gas nitrogen dipam masuk adalah bagi menggantikan gas oksigen yang boleh menyebabkan pengoksidaan berlaku dan seterusnya merencatkan fungsi papan utama.
Terowong ketuhar akan pastikan komponen melekat sempurna
Monitor ini untuk memantau proses pemanasan papan
Selepas semuanya terlekat, papan tadi akan dipotong kedalam empat papan individu dan mereka akan pergi ke fasa seterusnya iaitu memasang firmware yang bertindak seperti “jurubahasa” antara perisian dengan perkakasan.
Tanpa firmware, perkakasan tidak akan beroleh arahan untuk melakukan tugasan kerana arahan daripada pengguna tidak sama bahasnya dengan apa yang difahami perkakasan.
Papan utama sedang dipasang firmware-nya
Selepas firmware, fasa terakhir adalah untuk melalui ujian kualiti yang ketat daripada OPPO. Papan yang tidak memenuhi piawaian akan dikeluarkan daripada barisan dan dikitar semula. Yang berjaya pula akan meneruskan perjalanan untuk masuk ke badan telefon. Tapi tidak semudah itu.
Papan yang gagal ujian kualiti akan dikeluarkan daripada barisan
Contoh papan yang dikeluarkan
Papan yang siap akan dibawa ke barisan pemasangan telefon
Melihat OPPO Find X “Diseksa”
Saya turut dibawa untuk menyaksikan bagaimana ujian kualiti diajalankan keatas produk telefon paling premium mereka setakat ini, OPPO Find X dan ia amat menyeriaukan untuk ditonton.
Masuk saja ke bilik ujian, kedengaran bunyi bising telefon jatuh daripada ketinggian 1.5 meter. Pegawai pemeriksa sedang cuba menjahanamkan telefon itu pada ketinggian sedimikian dan ia diulangi sebanyak 10 kali. Setiap kali jatuhan, mereka akan memeriksa telefon itu dan mencatatkan setiap pemerhatian mereka.
Pegawai kawalan kualiti menjatuhkan Find X daripada ketinggian 1.5 meter
Kemudian di sudut lagi satu adalah mesin berbentuk tong dan telefon diisikan di dalamnya. Tong dipusingkan pada kadar 3.5 pusingan seminit dengan telefon berada di dalamnya selama sejam.
Telefon ada di dalam gegendang dan diputar 3.5 putaran seminit
Tak cukup dengan jatuhan 1.5 meter dan 1 meter, ia turut diuji dalam situasi jatuhan kecil iaitu 1 kaki tapi diulang sebanayk 7,000 kali. “Seksaan” diteruskan pula ke bahagian seterusnya.
Ujian jatuhan mikro diulang 20 ribu kali
Setiap butang fizikal yang ada pada telefon ini ditekan ulang sehingga 20,000 kali ulangan. Kabel USB dipulas ribuan kali untuk memastikan keteguhan.
Ketahanan adapter USB-C turut diuji
Ujian akhir yang dipertontonkan adalah iklim. Dalam satu kebuk khas, telefon akan dibiarkan di bawah suhu ekstrim. Paling tinggi adalah 80°Celsius dan paling rendah adalah -40° Celsius.
Kebuk iklim untuk menguji telefon dalan keadaan ekstrim
Rata-rata yang keluar daripada makmal kawalan kualiti OPPO berasa kagum dengan keintensifan pengeluar telefon itu terhadap produk mereka. Ia bagi membolehkan pengguna tidak berasa gusar sepanjang menggunakan mana-mana produk yang mendukung cap OPPO.