Telefon kelas pertengahan Samsung yang seterusnya bagi menggantikan tempat Galaxy A54 adalah Galaxy A55. Walaupun masih jauh dari pelancarannya, kini telah muncul render penuh Galaxy A55 dalam talian yang sekali gus mendedahkan reka bentuk serta perubahan yang dilakukan pada model kelas pertengahan akan datang.
Ini bukan pertama kali keberadaan telefon Galaxy A55 ini didedahkan, kerana sebelum ini telah terdapat laporan berkenaan spesifikasi dan rekaannya. Tetapi dengan render terbaru ini, kita peroleh reka bentuk penuh bersama warna yang ia mungkin ditawarkan.
Menurut render yang dikongsi, ia menunjukkan Galaxy A55 tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu ungu, biru cair dan hitam. Mungkin juga terdapat lebihan warna lain yang ia akan tersedia. Seperti biasa, Samsung dapat dilihat masih mengekalkan faktor bentuk serupa seperti model terdahulu Galaxy A54 ataupun pada kebanyakan telefon Galaxy siri A untuk Galaxy A55 akan datang ini.
Namun, jika dilihat dengan lebih teliti, terdapat sedikit perbezaan pada reka bentuk yang digunakan. Ia ada bingkai kanan yang menonjol keluar pada di bahagian butang kuasa dan volum, iaitu rekaan yang pertama kali diperkenal pada Galaxy A15 dan Galaxy A25.
Render tersebut juga menunjukkan terdapat garisan antena pada bingkai, mengesahkan ia menggunakan bingkai diperbuat daripada logam yang juga merupakan satu naik taraf berbanding bingkai plastik di Galaxy A54. Selain itu, sisi bingkainya juga rata sepenuhnya dengan sedikit lengkungan pada hujung bingkai.
Di samping itu, terdapat tiga modul kamera menegak pada panel belakangnya, bersama logo Samsung di bawah. Melihat dari tepi, tebal modul kamera turut masih kelihatan sama seperti model terdahulu, di mana ia tidaklah terlalu menonjol keluar. Manakala di hadapan, ia mempunyai satu lubang kamera di tengah-tengah skrin dengan bezel skrin yang sedikit tebal pada bahagian bawah berbanding sisi lain.
Walau bagaimanapun, tiada render bahagian atas dan bawah telefon yang diberikan. Tetapi dijangka ia akan kekal sama seperti Galaxy A54, dengan bahagian atas terdapat slot sim kad dan di bawah pula port USB-C dan juga grill speaker, berdasarkan render oleh Mysmartprice.
Jangkaan spesifikasi Samsung Galaxy A55
Berkenaan spesifikasi, Galaxy A55 akan dikuasakan cip Exynos generasi terbaru, Exynos 1480 yang dihasil dari proses 4nm. Ia memiliki empat teras berprestasi tinggi berkelajuan 2.75GHz serta empat teras jimat tenaga berkelajuan 2.05GHz. Lebih menarik, ia menampilkan GPU tersuai Xclipse 530 terbaru hasil kerjasama Samsung dan AMD.
Bersama cip tersebut, ia mungkin akan digandingkan bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Mungkin juga akan terdapat konfigurasi storan lain. Sementara itu, untuk perisian, ia akan menjalankan sistem operasi One UI 6.1 berasaskan Android 14. Bahagian paparannya akan menggunakan skrin Super AMOLED 6.5-inci dengan resolusi HD Penuh, dan menyokong kadar penyegaran 120Hz. Ia dilindungi oleh kaca Corning Gorilla 5.
Untuk sistem kamera, ia dikatakan bakal tampil dengan kamera utama 50MP yang memiliki sokongan OIS, dan diikuti kamera ultralebar 12MP dan kamera makro 5MP. Sementara di hadapan terdapat kamera selfie 32MP. Menyalurkan tenaga pada telefon mungkin bateri berkapasiti 5,000mAh bersama sokongan pengecasan pada 25W.
Memandangkan Galaxy A54 sebelum ini dilancarkan pada bulan Mac tahun 2023, Galaxy A55 juga mungkin diperkenal dalam jangka masa yang sama. Nantikan lebihan maklumat yang pasti akan menyusul jika ia akan dilancarkan nanti.
[Sumber: Android Headlines, Mysmartprice]
Bacaan berkaitan
- Harga rasmi Galaxy A15 dan Galaxy A25 dikesan lebih RM1,000, jaminan lebih panjang
- Samsung Galaxy A25 5G guna cip lama Exynos tetapi ada speaker stereo
- Samsung Galaxy A15 kini dengan skrin Super AMOLED dan kemaskini keselamatan 5 tahun
- Samsung Galaxy M54 dengan bateri 6,000mAh, kini ada percuma banyak sarung telefon