Baru-baru ini tular di media sosial, kisah mengenai seorang wanita yang baru menerima kereta Perodua Bezza. Namun tidak sampai 8 jam keluar, kereta itu rosak. Lebih malang lagi apabila pinjaman bulanan kereta yang bernilai RM537 sebulan, tetap perlu dibayar walaupun kenderaan tersebut tersadai di pusat servis.
Menerusi hantaran Facebook milik Nagakanni Subramaniam, keretanya yang baru 8 jam diterima tidak boleh dihidupkan enjinnya dan terpaksa ditunda ke Pusat Servis Perodua Segamat. Setelah diperiksa, mekanik memberitahu bahawa enjin keretanya rosak kerana terdapat benda asing seperti gula.
Dia telah menunggu lebih dua bulan untuk, namun masalah tersebut masih tidak selesai sehingga ke hari ini, dan menyebabkan dia memilih untuk berkongsi di Facebook bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Perodua tawar beli kereta rosak
Solusi awal yang diberikan oleh pihak Perodua adalah untuk membuat pinjaman kedua untuk mendapatkan kereta baru, namun ia ditolak memandangkan pinjaman terdahulu masih belum selesai dan sehingga kini masih tiada penyelesaian secara hitam putih yang diberikan Perodua berhubung isu tersebut.
Pun begitu, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Perodua, menyatakan bahawa pihaknya sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu. Malah beberapa langkah penyelesaian sudah diambil termasuklah menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.
Tiada jaminan hitam putih beli kereta rosak
Namun dalam hantaran terbaharu milik wanita malang tersebut, mendakwa kenyataan yang diberikan oleh pihak Perodua seperti mahu menutup kesalahan.
Jelas Nagakanni, tiada sebarang jaminan atau surat perjanjian dibuat Perodua yang ingin membeli semula kereta yang rosak dan membatalkan pinjaman bank pertamanya.
Baginya, jika Perodua benar-benar ingin membeli kereta tersebut, haruslah terdapat perjanjian hitam putih.
Ye la, bukannya sedikit pinjaman yang dibuat, makan tahun juga untuk membayarnya, apatah lagi jika disuruh untuk membuat pinjaman kedua. Bila timbul isu sebegini, pastinya sebagai pembeli kita hanya mahu pertahankan hak kita. Baru nak rasa gembira dapat kereta baharu, tetapi kecewa akhirnya. Kenapa tiada undang-undang ganti kereta yang baru rosak di Malaysia ini ya?
Bagi pendapat anda, apa penyelesaian terbaik untuk menangani isu ini. Kongsikanlah pandangan anda di ruangan komen.
[Sumber: Nagakanni Subramaniam, Perodua]