Rolex adalah satu jenama jam mewah yang dikenali ramai. Kini muncul khabar angin mengatakan bahawa Rolex akan bekerjasama dengan sebuah jenama telefon pintar dalam pelancaran model baru yang akan datang.
Dalam satu perkongsian di X, telefon pintar Realme 12 Pro+ yang akan dilancar tidak lama lagi dikatakan akan mendapat sentuhan pakar jam mewah, Rolex. Telefon yang mungkin dihasilkan sebagai edisi khas nanti, menampilkan warna biru Rolex dengan garisan keemasan seperti rupa jam mewah.
Walaupun ia masih belum disahkan secara rasmi, Realme ada menyatakan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar tersebut dengan kerjasama pakar jam mewah antarabangsa, Ollivier Saveo. Malah, ada emoji mahkota dalam ciapan tersebut ibarat mengatakan Rolex yang menggunakan mahkota sebagai logo menjadi rakan kerjasama Realme.
Dalam ciapan terbaru pula, Realme Global telah berkongsi rupa sebenar sebuah model dalam keluarga Realme 12 Pro berwarna Submarine Blue. Ia juga ditandakan dengan tanda pagar rekaan jam mewah.
Kamera periskop dengan Superzoom 120x
Selain rekaan jam mewah, Realme juga menyatakan bahawa mereka kamera telefoto periskop pada siri Realme 12 Pro. Ia berupaya mengezum optikal 3x dan zum secara sensor 6x, serta superzoom sehingga 120x. Kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX 890 OIS, manakala kamera periskop dilengkapi sensor OV64B sebesar 1/2-inci.
Gandingan kamera utama, kamera ultra lebar dan kamera telefoto periskop di Realme 12 Pro ini mampu memberikan zum ‘lossless’ pada 0.6x, 1x, 2x, 3x, dan 6x untuk pengalaman fotografi zum yang setanding peranti kelas flagship.
Realme masih belum menyatakan tarikh tepat untuk melancarkan siri Reame 12 Pro. Tetapi Realme telah berkongsi banyak perkara tentangnya, pasti pelancarannya semakin dekat. Berkemungkinan dalam bulan Januari ini. Sama-sama kita tunggu dan lihat.