Setelah sekian lama dinantikan, Honor akhirnya telah melancarkan telefon lipat ternipis mereka, Honor Magic V2 untuk pasaran Malaysia. Untuk pengetahuan anda, Honor Magic V2 telah pun dilancar di pentas antarabangsa di IFA Berlin pada September tahun lalu. Ia merupakan telefon berkelas flagship dengan dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 2, sistem tri kamera dan pengecasan pantas.
Harga dan ketersediaan Honor Magic V2 di Malaysia
Dalam pelancaran ini, harga rasmi Honor Magic V2 telah diumumkan iaitu:
- Honor Magic V2 (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM6,999
Hanya ada satu varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Walaupun telah dilancarkan, ia akan mula dijual di Malaysia pada 25 Januari 2024. Tetapi tempahan awal telah dibuka dari hari ini sehingga 24 Januari 2024. Tempahan awal Honor Magic V2 boleh dibuat di laman web HiHonor.com, kedai fizikal Honor Store, kedai rasmi Honor di Lazada, Shopee dan TikTok, serta di Harvey Norman, Senheng, Senq dan Urban Republic.
Pembeli awal akan menerima hadiah percuma bernilai RM3,247 iaitu Honor Choice Robot Cleaner X2, Perlindungan kerosakan skrin 365-hari dan pemegang telefon lipat.
Menurut Honor, perlindungan kerosakan skrin 365-hari ini meliputi satu kali penggantian percuma untuk mana-mana skrin Honor Magic V2 dalam tempoh 180 hari selepas pembelian, serta satu kali diskaun 50% untuk penggantian mana-mana skrin dalam tempoh 365-hari.
Pembelian mulai 25 Januari 2024 pula akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM2,247 iaitu Honor Choice Haylou Watch, Perlindungan kerosakan skrin 365-hari dan pemegang telefon lipat. Hadiah percuma ini diberikan selagi stok masih ada.
Selain itu, Honor Magic V2 juga akan boleh didapati menerusi tawaran kontrak pelan syarikat telekomunikasi, antaranya Maxis, CelcomDigi, U Mobile dan Yes.
Spesifikasi Honor Magic V2
Honor Magic V2 merupakan telefon gaya lipatan buku dengan badan nipis 9.9mm apabila dalam keadaan terlipat, dan 4.7mm apabila skrin dibuka. Engsel pada Magic V2 ini menerima pensijilan SGS kerana ketahanan utuh, serta diperbuat titanium sangat ringan menggunakan mekanisma tanpa gear, menjadikan beratnya hanya 237 gram.
Paparan luar Magic V2 menggunakan skrin 6.43-inci pada resolusi 2,376×1,060 piksel dengan kecerahan puncak pada 2,500 nits. Apabila membuka lipatan, ia ada skrin dalaman 7.92-inci beresolusi 2,156×2,344 piksel dengan kecerahan puncak sehingga 1,600 nits.
Kedua-dua skrin dalam dan luar ini menggunakan panel jenis LTPO OLED, kadar penyegaran 120Hz dan juga tahap PWM setinggi 3,840Hz. Kedua-dua skrin ini dilindungi oleh kaca nanokristal generasi ke-2 yang didakwa Honor 10 kali lebih tahan jatuh.
Honor Magic V2 dikuasakan cip flagship iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Bersama cip itu, ia dipadankan dengan RAM 16GB dan storan 512GB. Ia turut memanfaatkan penggunaan cip Honor C1 RF untuk meningkatkan sambungan wayarles telefon. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi MagicOS 7.2 berasaskan Android 13.
Tenaga telefon disalur dari sistem dwi bateri berkapasiti 5,000mAh. Jika kehabisan bateri, ia menyokong pengecasan pantas 66W melalui USB-C. Namun, tiada sokongan pengecasan wayarles disediakan. Untuk audio, ia memiliki speaker stereo dengan sokongan DTS: X Ultra.
Di bahagian pengimejan, terdapat tiga buah kamera di belakang telefon iaitu kamera utama 50MP f/1.9 bersama sokongan OIS, kamera ultra lebar 50MP f.2.0 dan juga kamera telefoto 20MP. Kamera telefoto itu juga turut memiliki sokongan OIS serta mampu mengezum optikal 2.5x dan zum digital sehingga 40x. Sementara itu, untuk selfie, terdapat kamera 16MP f/2.2 di kedua-dua paparan dalam dan luar.
Lagi ciri lain yang boleh ditemui pada Magic V2 termasuk pengimbas cap jari di butang kuasa, NFC, 5G, Bluetooth 5.3 dan juga WiFi 7. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web Honor di sini.