Setelah lebih setahun Great Wall Motor (GWM) Malaysia melancarkan Ora Good Cat untuk pasaran tempatan, akhirnya syarikat itu bakal membawa masuk sebuah lagi kenderaan elektrik (EV) baharu ke Malaysia.
Pengesahan itu dibuat melalui teaser yang dikongsikan melalui hantaran di Instagram rasmi GWM Malaysia. Pun begitu, tiada sebarang tarikh pelancaran dinyatakan, namun dijangkakan dalam masa terdekat ini.
Jangkaan harga Ora 07 sekitar RM200,000
Ora 07 yang merupakan sebuah sedan empat pintu dengan rekaan fastback itu turut dikenali sebagai Ora Lighting Cat dan Ora Grand Cat bagi pasaran global. Ia adalah model yang lebih tinggi berbanding Good Cat sedia ada berdasarkan saiz dan prestasinya.
Selain tarikh pelancaran yang masih menjadi tanda tanya, GWM Malaysia juga turut merahsiakan harganya. Namun kami menjangkakan harga jualan untuk pasaran tempatan akan jauh lebih tinggi berbanding pasaran Thailand.
Sebagai perbandingan, Ora Lightning Cat dilancarkan pada harga THB1,299,000 (~RM172,192) untuk varian Long Range, manakala untuk varian Performance adalah pada harga THB1,499,000 (~RM198,703). Kedua-dua harga tersebut adalah selepas rebat kenderaan hijau daripada kerajaan Thailand.
Jadi untuk pasaran tempatan, harga Ora 07 mungkin akan menjadi sekitar RM200,000 untuk varian Long Range. Untuk pilihan varian Performance, kami meramalkan ia akan berharga sekitar RM230,000.
Sekiranya betul ramalan tersebut, maka Ora 07 akan menempatkan dirinya dalam segmen pasaran yang sangat kompetitif dan akan bersaing bersama Tesla Model 3 dan Model Y, Smart #1 serta BYD Seal yang turut akan dilancarkan tidak lama lagi.
Melainkan GWM Malaysia mengurangkan harga rasmi untuk Ora Good Cat yang kini berharga sehingga RM170,500 bagi pasaran tempatan, mustahil untuk Ora 07 berharga di bawah RM180,000.
Spesifikasi Ora 07
Mengenai spesifikasi kedua-dua varian yang ditawarkan di Thailand, ia dilengkapi motor elektrik 150kW (201hp) dengan daya kilas setinggi 340Nm yang dipasang pada bahagian hadapan untuk varian Long Range. Manakala varian Performance, mendapat janaan AWD dwi-motor yang menawarkan kuasa dua kali ganda output, pada 300kW (402hp) dengan daya kilas setinggi 680Nm.
Dari segi pecutan, Ora 07 dikatakan dapat memecut daripada sifar kepada 100km/j dalam tempoh 4.3 saat. Kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik untuk varian Long Range dan Performance, masing-masing adalah pada paras 170km/j dan 180km/j.
Kedua-dua varian Ora 07 menggunakan bateri litium 83.5 kWj. Ia membolehkan model varian Long Range untuk pergi sejauh 640km dan sejauh 550km untuk varian Performance.
Menerusi pengecasan pantas DC, bateri Ora 07 dapat dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam tempoh masa 30 minit. Ia juga menyokong fungsi Vehicle-To-Load (V2L) dengan keupayaan 3.3kW yang bertindak sebagai bateri bergerak bagi membekalkan kuasa kepada pelbagai peralatan elektrik.
Tengok reka bentuk kereta EV tersebut, memang menarik ala-ala Porsche 911. Kalau nak tahu harga sebenar Ora 07 itu, kenalah tunggu sehingga GWM melancarkannya di Malaysia. Anda rasa berapa harga jualan Ora 07? Kongsikanlah dengan kami pendapat anda itu.