Baru-baru ini, ramai orang menemui bahawa AirAsia mengenakan caj berbeza untuk daftar masuk bagasi, mengikut jenis peranti yang digunakan. Ini membuatkan ramai orang membuat kesimpulan bahawa AirAsia mengenakan caj lebih mahal untuk pengguna peranti mahal seperti iPhone.
Sehubungan itu, AirAsia telah membalas kami dengan menghantar FAQ rasmi mereka tentang Harga Dinamik untuk ‘add-ons’. Sebenarnya, bukan bagasi daftar masuk sahaja yang ada harga berubah-ubah, tetapi ia melibatkan add-ons yang lain seperti Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Ayam Uncle Chin.
Harga dinamik adalah biasa di seluruh dunia
Menurut AirAsia, harga dinamik adalah satu mekanisma di mana harga berubah-ubah mengikut permintaan semasa pasaran, untuk memberi harga paling optimum di dunia. Serupa dengan harga tiket penerbangan, pelanggan yang membeli add-ons mungkin melihat harganya lebih murah atau lebih mahal, bergantung kepada permintaan semasa penerbangan tertentu. Untuk tiket penerbangan, biasanya harga lebih murah jika permintaan rendah dan ia akan meningkat mahal apabila semakin hampir dengan tarikh perjalanan apabila permintaan tinggi.
AirAsia menyatakan, mereka meletakkan kadar harga berbeza untuk produk sampingan dan harga tersebut tidak eksklusif untuk platform atau peranti tertentu. Harga tersebut adalah subjektif dan ia dipengaruhi oleh gabungan pelbagai faktor seperti situasi pasaran semasa serta permintaan tinggi dalam penerbangan untuk produk sampingan.
Harga dinamik tidak akan melebihi kadar yang dipaparkan
Terang AirAsia lagi, cara ini adalah untuk menggalakkan pelanggan untuk membuat tempahan lebih awal dengan harga lebih murah dan lebih penjimatan. Ia diamalkan oleh penerbangan tambang murah di seluruh dunia dan AirAsia menyebut dalam kebanyakan situasi, lebih awal tempah maka lebih banyak boleh jimat.
Sudah tentu, ada masanya harga akan menjadi lebih murah lepas tempahan dibuat. Menurut AirAsia, pelbagai diskaun ditawarkan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian dari usaha mereka untuk menarik minat pelanggan terhadap penerbangan tertentu, produk atau perkhidmatan.
Tetapi bagaimana jika anda mahu membuat perubahan terhadap add-ons seperti makanan ditempah awal dan ada perbezaan harga? FAQ menyebut, jika harga makanan itu lebih mahal, maka perbezaan harga itu perlu dibayar sebelum perbuahan dibuat. Jika lebih murah, tiada pulangan pembayar diberikan terhadap perbezaan harga.
Apapun harganya, ia tidak akan melebihi kadar yang dipaparkan seperti di bawah:
Dari kadar yang dipaparkan, bagasi daftar masuk 15kg untuk penerbangan AK disenaraikan berharga RM61.60 jika dibeli semasa tempahan awal dan berharga RM86.80 selepas tempahan dibuat. Jika dibuat di kaunter lapangan terbang, harganya lebih mahal iaitu RM90 untuk 15kg pertama.
Apabila kami membandingkan add-ons bagasi daftar massuk 15kg meliputi empat peranti berbeza untuk penerbangan dari Kuala Lumpur (KUL) ke Alor Setar (AOR), kami mendapat harga RM27.20 di telefon Oppo, RM35.20 di laptop Windows dan RM42.24 untuk talet Samsung dan telefon iPhone. Harga yang ditunjukkan masih lebih rendah dari kadar yang dipaparkan iaitu RM61.60 untuk 15kg.
Jadi apa penjelasan di sini? Dari pengalaman kami membuat tempahan, harga atau nilai diskaun yang AirAsia tawarkan sangat dinamik dan sukar untuk mengetahui jika anda mendapat tawaran terbaik. Anda mungkin membuang masa jika cuba membuat perbandingan di pelbagai platform dan kehilangan peluang untuk mendapat tawaran termurah jika lewat membuat tempahan. Pendek kata, jika harganya anda rasa bagus, lebih baik anda tempah sahaja penerbangan dan add-ons tersebut, sebelum harganya meningkat.
Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang Harga Dinamik AirAsia untuk add-ons di FAQ AirAsia.
[Sumber: AirAsia]