NVIDIA telah mengumumkan aplikasi RTX Remix kini tersedia untuk dimuat turun bagi semua pengguna. Berada dalam fasa beta, RTX Remix ini secara ringkasnya aplikasi yang membolehkan pengguna untuk meningkatkan kualiti grafik pada permainan klasik dengan ray tracing, NVIDIA DLSS, NVIDIA Reflex, render berasaskan fizikal (PBR) dan juga generatif AI.
Sebelum ini, aplikasi RTX Remix ini telah digunakan untuk memperbaik grafik permainan Portal dengan RTX. Ia turut digunakan oleh komuniti modder, Orbitfold Studios untuk menambah baik tekstur dan cahaya permainan Half-Life 2 RTX, sebuah projek permainan RTX Remix.
Walau bagaimanapun, tidak semua permainan klasik menyokong RTX Remix ini. NVIDIA memaklumkan ia boleh digunakan ke atas permainan yang memanfaatkan API DirectX 8 dan 9 seperti Call of Duty 2, Hitman 2: Silent Assassin, Garry’s Mod, Freedom Fighters, Need for Speed Underground 2 dan Vampire: The Masquerade – Bloodlines. Anda juga boleh lihat senarai penuh permainan yang disokong di laman web ModDB.
Untuk pengetahuan anda, RTX Remix dibina di atas platform NVIDIA Omniverse, sebuah platform untuk menyelarikan pembangunan aplikasi 3D. RTX Remix ini juga terdiri daripada dua komponen asas. Yang pertamanya adalah aplikasi untuk mencipta cahaya baru dan menambah aset pada grafik permainan, dan kedua merupakan runtime bagi menangkap landskap game dan memasukkan semula aset atau tekstur yang telah diperbaik ke dalam sesebuah permainan itu.
Satu perkara menarik tentang RTX Remix ini adalah ia menampilkan fungsi generatif AI menggunakan teras Tensor di GPU GeForce RTX untuk menganalisis tekstur beresolusi rendah dari permainan klasik. Ia kemudian menjana semula tekstur yang tepat bagi menggantikan tekstur lama kepada yang baru, serta boleh meningkatkan resolusi sehingga 4 kali lebih tinggi. Tekstur juga boleh ditambah baik menerusi render berasaskan fizikal (PBR) untuk pantulkan cahaya lebih baik yang mana jadikan kesan imej lebih nyata.
Dengan adanya RTX Remix ini, modder di luar sana boleh meningkatkan semula tekstur dan grafik permainan klasik menggunakan AI, dan menggantikan semula aset permainan dengan aset baru lebih cantik dan nyata. Namun, NVIDIA mengingatkan pengguna bahawa RTX Remix ini bukanlah penyelesaian satu klik untuk memperbaik grafik, tetapi ia memerlukan masa dan dedikasi untuk mencipta mod terbaik.
Untuk menjalankan RTX Remix, ia sekurang-kurangnya memerlukan GPU 3060Ti dengan VRAM 8GB. Tetapi NVIDIA menyatakan adalah lebih ideal jika digunakan bersama GPU RTX 4070 dan ke atas.
Untuk mempelajari bagaimana untuk menghasilkan mod menggunakan RTX Remix, anda boleh belajar menerusi panduan video yang disediakan oleh NVIDIA. Untuk mengetahui lebih lanjut atau memuat turun RTX Remix, anda boleh layari laman NVIDIA di sini.
[Sumber: NVIDIA]