Belum sempat Telekom Malaysia (TM) melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru, pemangkunya dilaporkan meletak jawatan. Kami baru menerima berita yang menyebut, Datuk Bazlan Osman yang memegang jawatan sebagai pemangku CEO TM, akan melepaskan jawatannya hari ini.
Jawatan pemangku CEO TM telah disandang oleh Datuk Bazlan sejak bulan Jun lepas, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly. Sebagai Timbalan CEO TM ketika itu, beliau telah diangkat menjadi pemangku CEO TM serta-merta.
Datuk Bazlan juga telah memberi notis untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif berkuatkuasa 28 Februari 2019.
Datuk Bazlan (kiri) bersama Imri Mokhtar (kanan)
Tempat baru CEO TM akan diisi oleh Imri Mokhtar, yang turut berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) TM. Beliau sebelum ini bertugas sebagai Naib Presiden unifi, yang bertanggunjawab memacu servis unifi untuk pengguna serta industri kecil dan sederhana (IKS) meliputi telefon, jalur lebar, mudah alih, TV, wifi dan servis nilai tambah.
Imri yang berusia 45 tahun, memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam strategi perniagaan dan pengurusan, dalam bindang komunikasi dan media. Beliau memulakan kerjaya di TM pada tahun 1996 kemudian menyertai firma konsultansi McKinsey & Company. Selepas itu beliau berkhidmat di Astro sebelum kembali menyertai TM pada tahun 2005.
Saham TM di Bursa Saham Kuala Lumpur menunjukkan penurunan yang sangat ketara tahun ini. Ia meningkat seketika apabila TM mengumumkan pelan baru unifi yang lebih laju dan murah, tetapi menurun semula dan mencecah tahap terendah pada hujung bulan lepas. Ia mungkin disebabkan sentimen pengguna yang rata-rata tidak berpuas hati dengan langkah yang dibuat TM berkenaan pelan baru unifi.
Semoga perubahan di TM ini akan memberikan kelebihan buat pengguna, di samping menjadikan TM membuat keuntungan semula.