Pasaran telefon lipat kini disertai oleh sebuah lagi jenama peranti, iaitu ZTE. Baru-baru ini, ZTE telah memperkenalkan telefon lipat pertama mereka yang dipanggil ZTE Libero Flip. Ia adalah telefon lipat berkelas pertengahan yang menyokong 5G dan menampilkan penggunaan dwipanel AMOLED pada luar dan dalaman skrin.
ZTE Libero Flip ini akan dilancar di Jepun pada 29 Februari dengan harga JPY63,000 (~RM2,010) untuk satu-satunya varian yang tersedia iaitu RAM 6GB dan storan 128GB. Ini menjadikan telefon lipat Libero Flip jauh lebih murah berbanding penawaran telefon lipat lain dalam pasaran seperti Samsung Galaxy Z Flip 5 (harga bermula RM4,499), Oppo Find N3 Flip (berharga RM4,399), dan juga Tecno Phantom V Flip (berharga RM2,999).
Spesifikasi ZTE Libero Flip
ZTE Libero Flip ini ada rekaan seakan telefon lipat Tecno Phantom V Flip. Pada luarannya, ia memperagakan satu bulatan besar yang juga berfungsi sebagai paparan serta menempatkan modul kamera. Skrin tersebut menggunakan panel AMOLED sebesar 1.43-inci dengan resolusi 466 x 466 piksel.
Yang menariknya, paparan luaran ini boleh digunakan sebagai skrin previu untuk menangkap gambar dan menunjukkan pelbagai widget termasuk pemasa, cuaca, kiraan langkah dan mainkan atau hentikan lagu. Manakala, apabila membuka lipatan, terdapat skrin dalaman lebih besar yang menggunakan panel AMOLED 6.9-inci pada resolusi FHD+.
Selain itu, skrin ini boleh dilipat separuh untuk membolehkan pengguna menangkap gambar selfie atau melakukan panggilan video dengan lebih mudah. Skrinnya boleh dilipat dari 60 darjah hingga 110 darjah. Di atas skrin, terdapat lubang yang menempatkan kamera selfie beresolusi 16MP.
Sementara itu, sistem pengimejan di belakang pula dipacu kamera utama 50MP dan kamera depth 2MP.
Atas papan utama, ia diperkasa cip kelas pertengahan Snapdragon 7 Gen 1 4nm, bermakna ia akan menyokong rangkaian 5G. Cip tersebut digandingkan dengan RAM 6GB dan storan 128GB. Tenaga telefon pula disalur oleh bateri berkapasiti 4,310mAh dan ia menyokong pengecasan pada kelajuan 33W melalui USB-C.
Namun, telefon ini hanya memiliki tahap kalis percikan air dan debu IP42. Terdapat juga sokongan pengimbas cap jari, Bluetooth 5.2 dan WiFi 6. Ia akan menjalankan sistem operasi Android 13 sejurus keluar kotak. Libero Flip didatangkan dalam tiga warna iaitu putih, emas dan biru.
Setakat ini, masih tiada maklumat sama ada ZTE Libero Flip akan dilancarkan di pasaran luar selain Jepun. Tetapi, jika anda mahukan telefon lipat yang masih mampu milik dan bereka bentuk sebegini, anda boleh dapatkan Tecno Phantom V Flip. Ini kerana Phantom V Flip telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM2,999.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk ZTE Libero Flip.
[Sumber: ZTE]