Nothing telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar baru, Nothing Phone (2a) pada 5 Mac 2024. Maklumat tentang spesifikasi malah rupa telefon tersebut masih tidak didedahkan sepenuhnya, tetapi sedikit demi sedikit, Nothing sendiri berkongsi info berkaitan.
Guna cip Mediatek baru
Dalam perkongsian terbaru, Nothing mendedahkan bahawa Phone (2a) akan dikuasakan cipset keluaran Mediatek iaitu Dimensity 7200 Pro. CEO Nothing, Carl Pei menerangkan bahawa ini bukan cipset biasa, tetapi sebuah cipset baru yang dihasilkan Mediatek khusus untuk Nothing sahaja.
Perkataan ‘Pro’ pada cipset ini menandakan ia dinaik taraf dengan beberapa perkara berbanding cipset Dimensity 7200 biasa. Antaranya, ia dihasilkan menggunakan proses 4nm generasi kedua TSMC serba baru untuk kecekapan tenaga lebih tinggi. Ia mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 10% dan dilengkapi fungsi yang dioptimumkan seperti Smart Clean (kelajuan tulis/baca UFS 200% untuk penggunaan lama) serta Adaptive NTFS (penghantaran fail ke PC Windows berkelajuan 100%).
Secara ringkas, Phone (2a) merupakan naik taraf besar daripada Phone (1) terutama dari segi prestasi. Phone (2a) memiliki 13% lebih prestasi dan 16% lebih cekap tenaga untuk penggunaan bateri berbanding Phone (1). Jika cip biasa Dimensity 7200 memiliki 2-teras Cortex-A715 berkelajuan 2.8 GHz dan 6-teras Arm Cortex-A510, adakah versi Pro lebih laju?
Spesifikasi Nothing Phone (2a)
Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut tentang Phone (2a), sebenarnya sudah ada maklumat didedahkan di alam maya. Pembocor berita terkenal, Onleaks telah berkongsi tentang rupa sebenar Phone (2a) serta spesifikasi penuh.
Paling ketara adalah rupa Phone (2a) yang jauh berbeza dengan Phone (1) atau Phone (2). Di belakang, ia tidak lagi dilengkapi dua kamera secara menegak, tetapi ditukar kepada 2 kamera melintang di tengah telefon. Dua kamera tersebut adalah kamera utama 50MP OIS dengan sensor Samsung ISOCELL S5KG9. Manakala yang kedua adalah kamera ultralebar 50MP Samsung ISOCELL JN1.
Kamera hadapan pula adalah kamera 32MP dan terletak di dalam lubang kecil di atas skrin. Skrin yang digunakan Phone (2a) adalah skrin AMOLED HD Penuh dengan kadar penyegaran 120Hz.
Selain mengesahkan penggunaan cipset Mediatek Dimensity 7200 Pro, Onleaks menyatakan Phone (2a) akan datang dalam varian RAM 8 atau 12GB, serta storan 128GB atau 256GB. Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan berwayar 45W.
Phone (2a) akan menjalankan sistem operasi Nothing OS 2.5.2 berasaskan Android 14. Selain itu, telefon ini akan dilengkapi fungsi NFC, Wallpaper AI, serta kalis percikan air IP54.
Satu lagi perkara penting yang dikongsi oleh OnLeaks adalah harganya. Sumbernya menyebut, Nothing Phone (2a) akan dijual di India di bawah INR25,000 (~RM1,440). Pastinya ini harga untuk varian terendah dengan RAM 8GB dan storan 128GB.
Dengan spesifikasi dan rupa yang telah terdedah ini, adakah Nothing Phone (2a) menarik untuk anda? Bolehkah ia dijual di bawah RM1,500 di Malaysia? Lebih banyak maklumat pasti akan dikongsikan semasa pelancaran Nothing Phone (2a) pada 5 Mac kelak. Nantikan laporan daripada kami di SoyaCincau.
[Sumber: Nothing]