Samsung Electronics telah memperkenalkan kad mikro-SD terbaru berprestasi tinggi berasaskan SD Express dan juga kad mikro-SD dengan kapasiti sebesar 1TB. Spesifikasi SD Express yang digunakan Samsung ini adalah pertama dalam indsutri dan ia membolehkan kad mikro-SD mencapai kelajuan membaca data sehingga 800MB/s.
Kad mikro-SD Express berkapasiti 256GB
Samsung memaklumkan yang ia akan tersedia dalam kapasiti 256GB. Samsung SD Express ini mampu untuk memberikan prestasi seakan SSD tetapi dalam bentuk kecil, disebabkan ia mengunakan rekaan rendah tenaga untuk pengurusan haba dan firmware yang dioptimumkan untuk prestasi.
Selain itu, penggunaan SD Express juga dapat meningkatkan kelajuan membaca sehingga 985MB/s, dan dalam kes ini, kad mikro-SD Express Samsung ini boleh menawarkan kelajuan sehingga 800MB/. Untuk pengetahuan anda, ini 1.4x lebih pantas berbanding SSD Sata yang berkelajuan pada 560MB/s dan UHS-1 yang hanya terhad pada 104MB/s.
Untuk memastikan prestasi yang stabil dalam kad mikro-SD kecil ini, Samsung memaklumkan mereka menggunakan teknologi Dynamic Thermal Guard (DTG) pada kad ini bagi mengekalkan suhu optimum walaupun semasa dalam sesi penggunaan lama.
Kelebihan kad mikro-SD yang lebih laju ini adalah, ia boleh mengendali rakaman dan menyimpan data video pada resolusi tinggi dengan cepat dan cekap. Ini menjadikannya ideal untuk kegunaan kamera mirrorless yang merakam sehingga 8K dan dashcam yang memerlukan storan besar dan pantas.
Kad mikro-SD sebesar 1TB menggunakan lapan lapisan V-NAND
Sementara itu, kad mikro-SD 1TB Samsung baharu ini merupakan kad mikro-SD yang pertama berkapasti 1TB dari Samsung. Fokus kepada kapasiti, ia tidak sepantas SD Express kerana menggunakan UHS-1. Samsung mengatakan ia diperbuat dari lapan lapisan 1Tb V-NAND generasi ke-8, sebuah teknologi yang terdapat pada SSD Samsung.
Selain itu, ia juga telah diuji untuk lasak dan berfungsi walau dalam persekitaran mencabar termasuk ada perlindungan dari basah, suhu tinggi, jatuh dan perlindungan magnetik.
Buat masa ini, pengguna masih belum boleh mendapatkan kedua-dua kad kad mikro-SD ini. Harganya turut belum didedahkan. Tetapi kad mikro-SD SD Express 256GB akan boleh dibeli pada tahun ini, manakala kad mikro-SD 1TB pula akan dilancar sekitar suku ketiga tahun ini.
[Sumber: Samsung]