Apple telah memperkenalkan beberapa perubahan pada cara pengoperasian iOS di Eropah untuk mematuhi undang-undang Digital Markets Act (DMA). Namun, keputusan tersebut tidak disukai kebanyakan pencipta aplikasi kerana dikatakan bersifat tidak adil.
Terdahulu pada bulan Januari lepas, Spofity mengutarakan kebimbangan mengenai Apple mungkin tidak mematuhi undang-undang DMA dengan betul. Mereka mengatakan bahawa yuran baharu yang dikenakan Apple kepada pencipta aplikasi sebanyak EUR0.50 bagi setiap muat turun setahun walaupun tidak digunakan oleh pengguna adalah tidak adil.
Namun berbeza dengan penerangan daripada pihak Apple, di mana yuran baharu tersebut hanya dikenakan untuk aplikasi yang diedarkan melalui App Store dan/atau gedung pihak ketiga untuk setiap pemasangan kali pertama untuk aplikasi yang mencatatkan pemasangan melebihi 1 juta dalam tempoh setahun.
Kini, sebanyak 33 syarikat dan persatuan dari pelbagai sektor, termasuk penerbangan, penerbitan, permainan, penstriman dan pasaran menyertai Spotify untuk membincangkan isu yang sama. Mereka mewakili puluhan ribu perniagaan dari pelbagai saiz yang menyediakan perkhidmatan untuk ratusan juta pelanggan di seluruh Eropah.
Syarikat dan persatuan itu menyatakan kebimbangan tentang perubahan polisi Apple. Mereka mendakwa perubahan tersebut tidak memenuhi keperluan undang-undang serta menghalang pencipta aplikasi daripada memberikan manfaat DMA kepada pengguna.
Dalam surat terbuka di laman web Spotify, mereka menekankan bahawa Apple menggunakan cara melampau yang bertentangan dengan DMA. Ini termasuk memberikan pilihan yang tidak munasabah antara terus menggunakan syarat semasa atau memilih yang baharu, di mana kedua-duanya tidak mematuhi DMA dan hanya mengukuhkan kuasa Apple dalam pasaran digital.
Menurut surat tersebut lagi, jika dibiarkan tanpa perubahan, Apple dikatakan seolah-olah mempermainkan undang-undang DMA. Ia juga didakwa menghalang usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk meningkatkan persaingan dalam pasaran digital.
Masih tidak dapat dipastikan sama ada surat terbuka itu akan memberi kesan kepada perubahan polisi yang dibawakan Apple atau tidak. Namun dikatakan EU sedang bersiap sedia untuk mengemukakan denda kepada Apple atas dakwaan antipersaingan.
[Sumber: Spotify]