Selepas beberapa kali tertangguh, akhirnya Kementerian Pengangkutan mengumumkan inisiatif pengautomatan ujian memandu JPJ akan dimulakan percubaannya seawal 5 Mac 2024. Projek rintis Sistem Pengujian Lesen Memandu Secara Automasi (eTesting). Ia membolehkan pegawai JPJ tidak berada dalam kenderaan bersama calon sewaktu.
Sebanyak 3 sekolah memandu telah menyertai ujian rintis ini iaitu Surfine Hitech, Pusat Latihan Memandu Berjaya, dan Institut Lima Bintang Abadi.
JPJ eTesting banteras rasuah lesen “kopi o”
Menurut YB Anthony Loke, salah satu sebab automasi ujian memandu JPJ ini diwujudkan adalah bagi meningkatkan integriti proses pelesenan pemandu baharu. Prosedur sedia ada terdedah kepada manipulasi, terutamanya rasuah bagi meluluskan calon yang tidak kompeten.
Ia disebabkan semua bacaan ditentukan oleh sensor yang dipasang di sekeliling kenderaan. Tugas JPJ adalah untuk memantau sistem sahaja.
Maka dengan sebab itu, tiada lagi istilah lesen “kopi o” selepas ini dan seterusnya kewibawaan JPJ akan kekal terpelihara serta hanya calon yang betul-betul kompeten sahaja berada di atas jalan raya.
JPJ eTesting mampu uji lebih ramai calon sehari
Ujian memandu secara elektronik ini dikatakan mampu untuk menguji lebih ramai calon dalam masa satu hari. Dikatakan yang sebuah kereta boleh memproses kira-kira 150 calon sehari namun angka calon yang diproses menerusi pengujian manual tidak pula dikongsikan. Walau bagaimanapun, apabila eTesting dikuatkuasakan kelak, kaedah manual masih lagi akan ditawarkan seperti biasa.
Kami telahpun menghubungi pihak penyedia solusi ujian ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknologi terbaharu ini.
Berita tentang pengautomatan ujian memandu JPJ bukanlah perkara baharu. Ia telahpun diuar-uarkan oleh kerajaan seawal Januari 2022 dulu apabila JPJ mengumumkan e-Testing akan dimulakan April 2022.
Tidak diketahui apa perkembangannya selepas itu, YB Anthony Loke Menteri Pengangkutan pula mengumumkan e-Testing akan diimplementasikan pada penghujung tahun 2023. Namun, nampaknya ia sekali lagi ditangguhkan sehinggalah Mac 2023 apabila sekali lagi diumumkan yang ia akan dimulakan pada April 2024 beserta dengan bukti sistem yang berfungsi.