Awal tahun ini Samsung telah melancarkan Galaxy S9. Untuk tahun hadapan, ia adalah tahun Galaxy S10, generasi ke-10 telefon pintar Android keluaran Samsung dari siri-S. Sudah pasti khabar-khabar angin telah mula tersebar memandangkan tarikh pelancarannya semakin hampir.
Dalam satu laporan, telah ditemui tiga model telefon pintar Samsung yang dipercayai merujuk kepada Galaxy S10 yang menerima pengiktirafan dari Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (CMIIT). Tiga model tersebut memiliki nombor model SM-G970F, SM-G975F dan SM-G973F. Tetapi tiada maklumat lanjut bersama pengiktirafan tersebut, melainkan nombor model sahaja.
Masih terdapat khabar angin lain tentang tiga model ini. Model paling asas akan memiliki dwi-kamera belakang dan satu kamera hadapan. Model utama pula akan datang dalam dua saiz, dijangka akan dimuatkan dengan dwi-kamera hadapan bersama dua atau tiga lensa kamera belakang.
Dalam satu laporan terbaru dari Korea Selatan sendiri memaklumkan, terdapat model keempat Galaxy S10 yang akan memiliki skrin sebesar 6.7-inci. Lebih menarik lagi, ia dikatakan akan dipasang dengan 6 kamera, 2 di hadapan dan 4 di belakang. Model ini juga akan menyokong rangkaian 5G.
Laporan yang sama juga menyebut, model keempat Galaxy S10 ini akan dihasilkan dalam sekitar 2 juta unit sahaja dan dijual di pasaran tertentu. Ini kerana rangkaian 5G masih belum diaktifkan secara meluas dan akan terdapat di beberapa buah negara sahaja. Jadi, Samsung akan menjual model keempat Galaxy S10 dengan sokongan 5G, di negara yang memiliki rangkaian 5G tahun depan.
Samsung telah pun memperkenalkan telefon pintar dengan empat kamera belakang iaitu Galaxy A9 2018. Ia adalah gabungan lensa biasa, telefoto dan ultra lebar. Lensa keempat pula ialah lensa pengesan tahap kedalaman, untuk menghasilkan efek bokeh.
Bagi Galaxy S10, mungkin ia akan menggunakan lensa yang sama seperti Galaxy A9 2018, tetapi pasti dengan spesifikasi lebih baik.
[Sumber: Sammobile]