Insta360 telah memperkenalkan kamera aksi bersudut pandang keliling terbaharu, Insta360 X4 yang membawakan pelbagai naik taraf menarik. Seiring dengan naik taraf perkakasan, harga pelancarannya juga didapati telah naik berbanding Insta360 X3.
Harga Insta360 X4 di Malaysia
Insta360 X4 dijual di Malaysia pada harga bermula RM2,499. Ia RM300 lebih tinggi berbanding harga pelancaran model sebelum ini. Setiap unit didatangkan dengan kabel pengecas, 1 bateri, dan beg kembara.
Pada harga RM2,699 anda boleh dapatkan kombo yang didatangkan bersama Invsible Selfie Stick yang menjadi ikon kepada kamera ini.
Anda boleh dapatkan Insta360 X4 di laman Lazada ataupun Shopee.
Beza Insta360 X4 dengan Insta360 X3
Rupa paras fizikal Insta360 X4 tidak banyak berubah namun ia kini sedikit besar dan berat. Ia mungkin disebabkan baterinya yang kini ada kapasiti lebih besar iaitu 2,290mAh. Pada resoluisi 5.3K30, Insta360 X4 boleh merakam sehingga 135 minit berbanding 87 minit pada model sebelum ini.
Namun, resolusi rakaman X4 bukanlah terhad pada 5.3K30, ia kini boleh rakam pada resolusi lebih tinggi iaitu 8K30 yang jadikan video kelilingnya akan nampak lebih tajam pada skrin lebih besar. Malahan ia beri lebih ruang pada pencipta kandungan untuk bermain dengan alatan crop sekiranya perlu.
Resolusi gambar kekal pada 18P ataupun 72MP lantas mencadangkan sensor dan lensa yang digunakan adalah sama sebaliknya naik taraf pada cip pemerosesan menjadikannya berupaya merakam pada resolusi yang lebih tinggi.
Lagi kelebihan Insta360 X4 berbanding Insta360 X3 adalah ia mampu menerima sumber audio daripada alatan headset Bluetooth. Antara nama-nama yang disenaraikan adalah seperti Senna, Cardo, Airide, Asmax, Lexonmoto, Vimoto, Airpods Pro, Airpods, dan Samsung Galaxy Buds 2. Saya jangkakan bahawa sokongannya adalah lebih luas.
Naik taraf lain yang dialu-alukan adalah seperti Bluetooth 5.2 yang lebih cekap tenaga dan miliki jalur perpindahan data lebih luas disamping penggunaan USB 3.0 yang lebih baharu. Skrin berwarna kamera ini juga lebih besar pada 2.5” dan ia dilindungi kaca Corning Gorilla Glass.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.