Infinix sebelum ini ada memuat naik teaser dan memaklumkan pelancaran Infinix GT 20 Pro akan diadakan di Malaysia pada 2 Mei 2024. Kini, Infinix GT 20 Pro telah didedahkan secara rasmi di peringkat antarabangsa dalam satu acara pelancaran bertempat di Riyadh, Saudi Arabia.
Tetapi, walaupun sebelum pelancarannya di Malaysia, telah ada pengedar tempatan yang menyenaraikan Infinix GT 20 Pro Shopee. Ini sekali gus mendedahkan maklumat berkenaan harga serta varian dan juga warna Infinix GT 20 Pro yang akan ditawarkan di Malaysia.
Berdasarkan pada yang disenaraikan dalam gedung talian itu, Infinix GT 20 Pro dijual pada harga RM1,299, kenaikan sebanyak 30% berbanding model sebelumnya yang dilancar pada harga RM999. Infinix GT 20 Pro turut tersedia dalam satu varian RAM iaitu 12GB dengan pilihan tiga warna iaitu biru, oren dan perak.
Spesifikasi Infinix GT 20 Pro
Telah dilancarkan di peringkat antarabangsa, Infinix GT 20 Pro dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8200 Ultimate. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X sama ada 8GB atau 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Tetapi, nampaknya pasaran Malaysia hanya akan menerima konfigurasi RAM 12GB yang lebih besar.
Bersama cip pemproses, Infinix GT 20 Pro turut dilengkapkan sebuah lagi cip iaitu Pixelworks X5 Turbo. Cip baharu itu dikatakan mampu untuk meningkatkan kadar bingkai dari 60 FPS ke 120 FPS bagi tawarkan pengalaman gaming lebih lancar. Untuk menampung prestasi tinggi ini, Infinix telah melengkapkan GT 20 Pro dengan sistem penyejukan Vapor Chamber yang 73% lebih besar berbanding generasi sebelum ini.
Infinix GT 20 Pro hadir dengan paparan AMOLED 6.78-inci dengan resolusi FHD+. Skrinnya turut menyokong kadar penyegaran 144Hz dan kecerahan puncak pada 1,300 nits. Daripada segi rekaan, ia memiliki lampu LED pada panel belakang yang dipanggil Mecha Loop yang boleh disuaikan dan menyokong lapan warna dan empat kesan lampu khas.
Lebih menarik, lampu itu boleh diintegrasikan dengan game seperti PUBG, MLBB dan Free Fire. Malah, kesan lampu juga boleh disuaikan untuk panggilan masuk, notifikasi, pengecasan dan lagu. Terdapat juga penggunaan motor getaran paksi X untuk maklum balas haptik lebih baik.
Untuk sistem pengimejan, lubang di skrin menempatkan kamera hadapan beresolusi 32MP. Di belakang pula ia ada tiga set kamera iaitu kamera utama 108MP menggunapakai sensor Samsung HM6 dengan OIS, serta kamera makro dan depth yang masing-masing bersolusi 2MP.
Tenaga telefon disalurkan oleh bateri 5,000mAh dengan sokongaN pengecasan 45W. Lagi ciri lain yang ada termasuk NFC, sokongan 5G, pengimbas cap jari dalam skrin dan speaker stereo yang ditala JBL. Infinix GT 20 Pro akan didatangkan dengan sistem operasi XOS 14 berasaskan Android 14 sejurus keluar kotak. Infinix turut menjanjikan kemas kini Android dua kali dan tiga tahun keselamatan.
[Sumber: GSMArena]