Hari Raya Aidiladha akan disambut pada pertengahan bulan Jun. Biasanya, jemaah haji akan mula berlepas kira-kira sebulan sebelum itu. Jika anda atau ada saudara-mara serta sahabat yang akan menunaikan Haji tahun ini, kami nak bagi tips mudah untuk membayar dan mengeluarkan wang tunai di Mekah.
Membawa tidak banyak wang tunai adalah lebih selamat. Bagaimanapun, pembayaran kod QR masih tidak digunakan di Arab Saudi. Oleh itu, pilihan terbaik adalah menggunakan kad kredit atau kad debit.
Kad kredit sesuai digunakan di kedai-kedai yang menerima pembayaran kad. Tetapi ia sangat tidak digalakkan untuk mengeluarkan wang kerana caj yang terlampau tinggi. Lebih sesuai membawa kad debit kerana ia bukan sahaja boleh digunakan untuk pembayaran, malah lebih mudah untuk mengeluarkan wang tunai.
Terdapat dua jenis kad debit yang anda boleh pertimbangkan untuk digunakan di Arab Saudi nanti. Pertama kad debit bank dan kedua, kad debit dengan eWallet. Mari kita bincangkan kelebihan dan kekurangan kad ini.
Kad Debit Bank agak susah
Jika anda memiliki akaun simpanan bank, biasanya ia datang bersama kad debit untuk pengeluaran wang tunai di mesin ATM. Kad ini juga dimiliki oleh kebanyakan orang.
Tetapi untuk pengeluaran wang tunai di luar negara, fungsi ini haruslah diaktifkan dahulu. Untuk Maybank dan CIMB, selaku dua bank terbesar di Malaysia, pengaktifan pengeluaran wang di luar negara perlu dilakukan di mesin ATM bank masing-masing.
Selepas itu, apabila berada di luar negara seperti Arab Saudi, boleh lihat logo Visa atau Mastercard di mesin ATM untuk mengeluarkan wang tunai. Bank juga mengenakan caj RM10 atau lebih untuk setiap pengeluaran di mesin ATM luar negara.
Agak sukar untuk mengetahui kadar tukaran matawang yang dikenakan, selain selepas mengeluarkan wang tunai dan melihat baki di akaun bank. Dalam hal ini, kena agak-agak sahaja berapa wang yang boleh dikeluarkan.
Jika ada saudara yang mahu menghantar wang untuk dibelanjakan di luar negara, ia boleh dibuat dengan memindahkan serta-merta wang ke akaun bank yang dipautkan ke kad debit menerusi DuitNow Transfer. Jadi boleh gunakan kad untuk keluarkan wang tunai atua berbelanja, selepas menerima wang yang dipindahkan.
Kad debit dengan eWallet, cara lebih baik
Cara yang lebih disyorkan untuk membayar dan mengeluarkan wang tunai di luar negara adalah menggunakan eWallet yang memiliki kad Visa/Mastercard fizikal. Beberapa eWallet yang menyediakan perkhidmatan ini adalah seperti BigPay, Touch n Go Ewallet dan Enrich Money.
Antara kelebihannya adalah, lebih mudah dipantau menerusi aplikasi. Kebanyakan fungsi kad juga boleh ditetapkan di dalam aplikasi, seperti pengeluaran wang di luar negara, had pengeluaran, had perbelanjaan dan sebagainya.
Selain itu, pengguna juga boleh memantau kadar tukaran matawang di dalam aplikasi. Lebih mudah untuk mengetahui berapa wang tunai yang akan diperoleh sebelum ke mesin ATM. Sama seperti kad bank, caj RM10 dan ke atas akan dikenakan untuk pengeluaran wang tunai di mesin ATM luar negara.
Untuk menerima wang juga mudah kerana ada eWallet yang menyokong DuitNow, terutama tiga eWallet ini iaitu BigPay, Touch n Go Ewallet dan Enrich Money. Jadi, wang boleh dihantar serta merta menerusi DuitNow Transfer dari mana-mana bank atau eWallet. Ia juga mudah diketahui kerana transaksi boleh dipantau terus dari aplikasi.
Dari ketiga-tiga eWallet ini, Enrich Money ada fungsi tambahan iaitu menyimpan matawang asing. Pengguna boleh menukar wang Ringgit Malaysia ke Riyal Saudi di dalam aplikasi sebelum berlepas, dan menggunakannya wang Riyal Saudi apabila berada di Arab Saudi. Dengan cara ini, tidak perlu pening memikirkan kadar tukaran semasa di luar negara.
Seperkara lagi, menggunakan kad debit daripada eWallet merendahkan risiko kecurian kerana hanya wang yang terdapat di dalam eWallet sahaja boleh digunakan. Ia berbeza dengan kad debit bank yang dipautkan terus ke akaun simpanan, yang biasanya memiliki banyak wang, selain menjadi akaun utama untuk gaji dan pendapatan. Ini juga membantu menghadkan bajet untuk berbelanja di luar negara.
Guna Wise lebih baik?
Berbanding negara lain, penggunaan kad Wise di Arab Saudi tidak digalakkan. Walaupun ia boleh memaparkan kadar tukaran matawang dan biasanya Wise ada kadar terendah, tetapi Wise tidak boleh menyimpan matawang Riyal Saudi. Ini kelemahan Wise.
Malah, Wise juga tidak menyokong DuitNow. Agak sukar untuk orang lain menghantar wang kepada pengguna apabila berada di luar negara. Ada caranya, melalui bank JPMorgan yang menjadi wakil Wise di Malaysia. Tetapi penghantaran wang ini mengambil masa sehingga 1 hari bekerja untuk diterima.
Kalau mahu juga, anda boleh menggunakan kad Wise di Arab Saudi dan menikmati caj RM0 untuk dua kali mengeluarkan wang sehingga RM1000 sebulan, tetapi ia akan ditolak dari matawang lain, bukan Riyal Saudi.
Mudah sahaja berbelanja dan keluar tunai di Arab Saudi
Dengan kecanggihan teknologi sekarang, sebenarnya sangat mudah untuk berbelanja di luar negara, termasuk semasa mengerjakan Haji dan Umrah. Apa yang diperlukan adalah telefon pintar dan sambungan internet. Jika perlukan data perayauan di Arab Saudi, boleh rujuk artikel kami di sini.
Diharapkan artikel ini dapat membantu anda untuk lebih fokus dan tenang menunaikan ibadah Haji di Mekah. Semoga mendapat Haji yang mabrur.