Bank Digital Islamik pertama di Malaysia, AEON Bank kini telah membuka pendaftaran kepada semua rakyat Malaysia. Ia juga adalah bank digital kedua beroperasi di Malaysia, selepas GXBank yang memulakan perkhidmatan akhir tahun lepas.
Bagi menarik minat orang ramai untuk mendaftar, AEON Bank turut menawarkan beberapa promosi menarik. Antaranya, kadar keuntungan tahunan setinggi 3.88% untuk Akaun Simpanan, serta 3x mata ganjaran. Yang penting, AEON Bank adalah bank digital yang patuh Syariah.
Cara Mendaftar akaun AEON Bank
Sebagai bank digital, orang ramai boleh mendaftar sebagai pelanggan AEON Bank hanya menerusi aplikasi AEON Bank. Aplikasi ini boleh dimuat di Apple AppStore atau Google PlayStore. Tetapi ada beberapa syarat perlu dipatuhi untuk mendaftar.
Paling utama, hanya warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas, serta memiliki MyKad sahaja boleh mendaftar sebagai pelanggan AEON Bank. Selain itu, pengguna juga perlu memiliki akaun bank peribadi simpanan atau semasa di bank tempatan, yang bukan akaun bersama. Akaun perniagaan juga tidak dibenarkan. Pendaftaran juga memerlukan nombor telefon dan emel yang sah.
Jika memenuhi syarat di atas, maka bolehlah mendaftar sebagai pelanggan dan membuka akaun simpanan di AEON Bank. Pengesahan menerusi e-KYC perlu dibuat, iaitu mengambil gambar MyKad depan dan belakang, serta mengambil gambar muka sendiri.
Pilih sendiri nombor akaun
Satu lagi tarikan yang ditawarkan AEON Bank adalah, pengguna boleh memiliki 4 angka akhir sebagai nombor akaun. Tetapi ia tertakluk kepada kesediaan, selagi masih tidak diambil orang lain.
Selain itu, untuk melengkapkan pendaftaran pengguna perlu memindahkan minima RM20 ke dalam akaun simpanan AEON Bank. Baki minima RM20 di dalam akaun simpanan AEON Bank juga perlu ada setiap masa, cara yang sama digunakan pada akaun bank konvensional tetapi tidak lagi diamalkan perkhidmatan perbankan baru, termasuk MAE dan GXBank.
Sokong DuitNow Transfer dan DuitNow QR
AEON Bank turut menyokong perkhidmatan DuitNow, termasuk DuitNow Transfer dan DuitNow QR. Jadi, pengguna boleh menghantar dana ke akaun bank lain dengan pantas serta menerima dana dari mana-mana bank atau eWallet, menerusi DuitNow Transfer. Untuk membeli-belah, boleh juga membayar dengan mengimbas kod DuitNow QR.
Kad Debit-i AEON Bank
Selepas akaun simpanan berjaya dibuka, pengguna AEON Bank boleh mendapatkan kad Debit-i. Pada mulanya, pelanggan boleh mengaktifkan kad ini secara maya dan terus digunakan. Selepas itu, boleh memohon kad fizikal dan ia akan dihantar ke rumah pengguna.
Dengan kad fizikal, pengguna AEON Bank boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin ATM yang memaparkan logo MEPS dan Visa, di dalam atau di luar negara. Tetapi untuk dalam negara, caj ATM RM1 akan dikenakan untuk setiap pengeluaran.
Kad fizikal juga membolehkan pengguna membuat bayaran di kedai yang menggunakan terminal pembayaran kad. Ia boleh digunakan secara tanpa sentuh dengan had RM250 serta menggunakan nombor pin.
Promosi AEON Bank
Bagi menarik minat orang ramai mendaftar, AEON Bank mengadakan kempen pelancaran. Ia berlangsung dari sekarang sehingga 31 Ogos 2024. Terdapat 5 jenis promosi ditawarkan dalam kempen ini.
Promosi pertama adalah pendaftaran Akaun Simpanan AEON Bank. Pelanggan AEON Bank akan menerima 3,000 mata ganjaran AEON Points, yang boleh ditukarkan kepada wang tunai RM15. Ini kerana mata AEON Points boleh ditukar kepada tunai pada kadar 200 mata = RM1. Tunai ini akan dimasukkan terus ke dalam akaun simpanan AEON Bank dan boleh digunakan untuk berbelanja, atau dikeluarkan di ATM.
Promosi kedua adalah 3x mata ganjaran. Pada waktu biasa, setiap RM1 dibelanjakan akan mendapat 1 mata AEON Points. Tetapi dalam tempoh promosi, setiap RM1 dibelanjakan melalui Kad Debit-i AEON Bank akan mendapat 3 mata ganjaran.
Promosi ketiga adalah kadar keuntungan 3.88% setahun. Kadar keuntungan ini dikenakan untuk akaun simpanan dan Pot-Simpanan pengguna.
Promosi keempat adalah pengecualian yuran keahlian program AEON Points. Program ganjaran AEON Points mengenakan yuran tahunan RM12 setahun. Tetapi dalam kempen ini, ia dikecualikan untuk tahun pertama. Jimat RM12.
Promosi terakhir adalah pengecualian yuran pengeluaran Kad Debit-i AEON Bank. Biasanya, caj untuk mendapatkan kad Debit adalah RM12 tetapi untuk pengguna baru dalam tempoh promosi ini, pengguna tidak akan dikenakan caj RM12 ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut, layari laman web AEON Bank sekarang. Rujuk juga ruangan soalan lazim atau FAQ di sini.