Di acara Computex 2024 yang bertempat di Taipei, Taiwan, Acer telah mempamerkan beberapa produk baru terutamanya barisan laptop mereka. Antara yang menarik perhatian adalah laptop Swift 14 AI terbaru. Ia merupakan laptop berkategori Copilot+ PC pertama Acer yang dikuasakan cip pemproses Snapdragon siri X.
Swift 14 adalah sebuah laptop dengan skrin 14.5″ yang hadir dalam badan cukup nipis dan ringan dengan berat hanya 1.36kg. Ia datang dalam beberapa varian, dengan dikuasakan sama ada cip Snapdragon X Plus atau Snapdragon X Elite. Tetapi kedua-duanya memiliki keupayaan memproses NPU pantas membolehkan pemprosesan AI dilakukan terus di dalam komputer.
Varian tertinggi Swift 14 dikuasakan cip pemproses Snapdragon X Elite X1E-78-100 4nm yang menampilkan 12 teras CPU berprestasi tinggi serta NPU Qualcomm Hexagon yang mampu untuk menawarkan kelajuan memproses NPU sehingga 45 TOPS. Namun, laptop ini tidak dilengkapkan dengan kad grafik sebaliknya menggunakan GPU Qualcomm Adreno terbina di dalam.
Bersama-sama cip itu, ia digandingkan dengan RAM LPDDR5X-8533 sehingga 32GB dan storan NVMe PCIe Gen 4 SSD sehingga 1TB.
Berada dalam kategori Copilot+ PC, Swift 14 ini didatangkan sejumlah ciri AI untuk meningkatkan lagi pengalaman pengguna. Antaranya, ia ada fungsi Recall membenarkan pengguna untuk mengimbas semula sejarah paparan di komputer menggunakan garis masa yang tersedia ataupun melalui carian. Selain itu, terdapat juga fungsi Cocreator pada aplikasi Paint yang boleh bantu anda untuk menjana imej AI dengan contengan serta prompt yang anda berikan.
Fungsi untuk menterjemah juga ada dengan Live Captions. Dengannya, ia boleh berikan kapsyen yang diterjemah secara langsung pada apa-apa video yang dimainkan di paparan. Sebanyak 44 bahasa yang disokong dan kemudiannya boleh diterjemah ke bahasa inggeris.
Dalam masa yang sama, ciri pembantu AI Copilot turut tersedia pada Swift 14 AI dan ia boleh diakses dengan satu klik menggunakan butang Copilot di papan kekunci. Namun, selain daripada butang Copilot, apa yang menariknya, Swift 14 ini memiliki ikon AI unik di atas penutup laptop dan pada pad sesentuh yang juga boleh berlampu apabila laptop ataupun Copilot diaktifkan.
Untuk bahagian skrin, Swift 14 menggunakan paparan sentuh jenis IPS WQXGA (2560×1600) dengan kadar penyegaran 120Hz dan cakupan penuh warna gamut sRGB. Skrinnya boleh dibaring rata 180 darjah dan boleh dibuka dengan satu tangan. Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah 75Whr yang didakwa Acer mampu untuk bertahan sehingga 26 jam.
Di atas skrin, terdapat IR webcam 1440p yang turut menyokong ciri pengimbasan muka Windows Hello. Berkenaan sambungan, ia menyokong WiFi 7 dan Bluetooth 5.4, serta memiliki port mencukupi seperti dua USB-C, dua USB-A 3.2 dan satu jek audio 3.5mm.
Setakat ini, masih tiada pemakluman tentang pelancaran Swift 14 AI di Malaysia. Tetapi di pasaran global, laptop ini akan tersedia di Amerika Utara pada Julai ini dengan harga bermula USD1,099 (~RM5,167) dan di Eropah pada Jun dengan harga bermula EUR1,499 (~RM7,657).
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Acer Swift 14 AI.
@soyacincautiktok Acer Swift AI: Copilot+ Snapdragon X Elite 💻 #acer #acerswift #ai #snapdragonxelite #laptop #computex2023 #soyacincautiktok #fyp #longervideos
♬ original sound – SoyaCincautiktok – SoyaCincautiktok
Bacaan berkaitan
- Acer Nitro V 16: Laptop gaming bawah RM5,000 diperkasa Ryzen 7 8845HS dan RTX 4050
- Acer lancar Predator Helios 16 dan 18, hadir dengan skrin Mini LED 250Hz dan RTX 4090
- Acer Swift Go 14 dengan Intel Core Ultra 7 ditawar pada harga bermula RM3,599
- Acer lancar monitor baharu untuk gaming dan kerja dengan fungsi sentuh dan melengkung 34-inci