Panggilan video melalui WhatsApp memang mudah dan banyak digunakan di Malaysia. Tetapi dengan kemaskini terbaru, WhatsApp boleh digunakan untuk persidangan video dengan fungsi baru, serta lebih ramai orang serentak.
Hari ini, WhatsApp mengumumkan tiga kemaskini utama yang akan menjadikan panggilan video terutama persidangan video beramai-ramai merentasi peranti, lebih mudah dan lebih baik untuk digunakan.
1. Berkongsi skrin dengan audio
Kini anda boleh menonton video bersama-sama menerusi perkongsian skrin dengan audio. Salah seorang peserta di dalam panggilan video WhatsApp boleh berkongsi skrin mereka untuk ditonton semua ahli.
Contohnya, memainkan video pertandingan bowling syarikat yang disertai pagi tadi oleh salah seorang ahli, dan ditonton beramai-ramai di peranti masing-masing melalui panggilan video berkumpulan di WhatsApp.
2. Lebih ramai peserta, sehingga 32 orang
Had peserta di dalam panggilan video WhatsApp merentasi semua peranti, kini dinaikkan kepada 32 orang. Tidak kira peserta tersebut menggunakan telefon Android, iPhone, komputer Windows atau laptop Macbook, semuanya boleh menyertai satu panggilan video yang sama.
Sama ada panggilan video sekeluarga sempena Hari Raya, atau perhimpunan alumni rakan sekolah, atau sekadar melepak secara maya, ia boleh disertai lebih ramai orang di dalam WhatsApp.
3. Lampu sorot untuk yang bercakap
Pelik bunyinya? Ciri terbaru ini sebenarnya membolehkan orang yang bercakap ditonjolkan pada skrin. Apabila ramai orang menyertai panggilan video dan muka setiap orang menjadi kecil, lampu sorot ini akan menunjukkan siapa yang sedang bercakap. Pendek kata, tahu siapa yang berceramah
Tambah WhatsApp lagi, selain tiga kemaskini utama yang baru ini, mereka kekal komited untuk memastikan video dan audio berkualiti. Antaranya melancarkan code MLow baru-baru ini, yang berupaya mempertingkat kestabilan panggilan. Walaupun dengan sambungan buruk, panggilan boleh didengari dengan jelas dalam suasana bising dan kualiti video berubah secara dinamik untuk memastikan panggilan terus lancar.
Tiga kemaskini yang diumumkan ini akan sampai kepada pengguna secara berperingkat, dalam masa beberapa minggu akan datang. Jangan terkejut jika anda masih belum dapat menggunakannya, sedangkan rakan sekerja sudah pun menikmatinya lebih awal.
[Sumber: WhatsApp]
Bacaan Berkaitan
- Cara hantar mesej WhatsApp tanpa perlu simpan nombor telefon
- WhatsApp tawarkan sokongan passkey untuk pengguna iOS
- Sembang lebih kemas dan tersusun dengan penapis terbaru WhatsApp
- Whatsapp kini boleh susun senarai, petikan dan letak bayang dalam mesej perbualan
- Sekat spam di Whatsapp terus di kunci skrin, mudah & jimat masa