Starlink yang lebih mudah alih dan berkemungkinan lebih murah dilapor sedang dibangunkan. Khabarnya paling awal, versi lebih kecil ini akan dilancarkan di pasaran terpilih seawal bulan hadapan kerana ia sudahpun melepasi pensijilan FCC Amerika Syarikat. Starlink Mini membawakan sambungan Internet menggunakan teknologi satelit yang sangat berguna untuk ketersambungan di kawasan pedalaman.
Berdasarkan dokumen pensijilan, kelengkapan antena Starlink Mini adalah berukuran 28.9cm x 24.8cm, saiz yang hampir sama dengan sebuah iPad Pro 13” ataupun MacBook Air 15”. Ia menjadikan kelengkapan ini muat dimasukkan ke dalam beg galas dan dibawa kemana-mana.
Antara maklumat yang ada berkenaan Starlink Mini adalah ia dilengkapi router Wi-Fi 2.4Ghz dan 5Ghz beserta teknologi 3×3 MIMO. Satu port Ethernet juga hadir untuk memudahkan penyambungan terus. Elon Musk sendiri mengatakan yang pemasangan Starlink Mini mengambil masa kira-kira 5 minit dan boleh memberikan ketersambungan Internet pada kadar 100Mbps (muat turun) dan 11.5Mbps (muat naik), dengan kadar sela sekitar 23 milisaat.
Lagi maklumat yang dikongsikan Elon Musk adalah anggaran harganya. Dia menyatakan harga Starlink Mini adalah kira-kira separuh daripada versi biasa dan begitu juga dengan harga langganan. Starlink Standard kit di Harvey Norman disenaraikan pada harga RM2,150 dengan harga langganan RM220/bulan.
Bacaan berkaitan
Qatar Airways x Starlink tawar internet 550Mbps dalam pesawat
Malaysia guna Direct-to-Cell Starlink seawal 2025, telefon boleh terima LTE dari langit
Fahmi cadang SpaceX untuk buka pejabat rasmi Starlink di Malaysia