Xiaomi, dalam sebuah majlis pelancaran di China telah memperkenalkan MIX Flip, iaitu telefon lipat jenis flip pertama mereka. Ia menyertai telefon lipat lain dalam pasaran macam siri Samsung Galaxy Z Flip 6 dan Oppo Find N 3Flip, namun hadir dengan penggunaan skrin luaran yang jauh lebih besar serta sistem kamera talaan Leica, selari dengan telefon-telefon flagship keluaran Xiaomi.
Spesifikasi Xiaomi MIX Flip
Salah satu keunikan MIX Flip berbanding telefon lipat lain adalah pada bahagian skrin luarannya. Ia didatangkan dengan skrin besar 4-inci yang meliputi keseluruhan bahagian luaran telefon, dengan terdapat potongan bagi dua modul kameranya. Skrin tersebut menggunakan panel AMOLED serta ada resolusi 1.5k, kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits.
Disebabkan skrin luaran yang lebih besar, pengalaman yang ditawarkan juga adalah lebih pelbagai dengan sokongan untuk penggunaan lebih daripada 200 aplikasi. Malah, skrin itu juga mampu menyediakan papan kekunci bersaiz penuh, lantas menawarkan pengalaman seperti menaip di skrin utama. Xiaomi turut menyediakan enam animasi haiwan comel termasuk kapibara dan kucing untuk jadikan sebagai wallpaper dinamik pada skrin luarannya.
Sementara itu, membuka lipatan pula akan memperlihatkan skrin LTPO AMOLED seluas 6.86-inci beresolusi 1.5K dan kadar penyegaran adaptif 1-120Hz. Kecerahan puncak yang disokong adalah sama dengan skrin luaran iaitu 3,000 nits, tetapi skrin dalaman memiliki sokongan PWM setinggi 2,160Hz, manakala skrin luarannya tidak.
Selain itu, Xiaomi memaklumkan yang MIX Flip menggunakan engsel yang mempunyai ketahanan sehingga 500,000 lipatan. Skrinnya juga boleh ditutup rapat tanpa ada ruang di tengah skrin, serta boleh dibuka separa 45 hingga 120 darjah. Daripada segi rekaan telefon, ia MIX Flip hadir dengan sisi rata, sama seperti kebanyakan telefon sekarang malah Galaxy Z Flip 6. Ia ada ketebalan 15.99mm keadaan tertutup dan 7.8mm dalam keadaan skrin terbuka.
Beralih di bahagian dalaman, MIX Flip diperkasa cip flagship terhebat Qualcomm setakat ini, Snapdragon 8 Gen 3. Cip itu digandingkan dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan UFS 4.0 sebesar 1TB. Untuk menampung prestasi setinggi ini dalam badan cukup kompak, MIX Flip menampilkan penggunaan 3D Vapour Chamber seluas 3500mm² untuk berikan peralihan haba yang efisien.
Di samping itu, Xiaomi juga memuatkan MIX Flip dengan seni bina perkakasan antena yang dipertingkatkan menggunakan cip Xiaomi Surge T1 untuk memastikan rangkaian wayarles yang optimum.
Berkenaan tenaga, telefon ini dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,780mAh, jauh lebih besar daripada 4,000mAh yang terdapat di Galaxy Z Flip 6. Malah, paling besar dalam mana-mana telefon lipat flip. Tenaga bateri boleh diisi semula dengan kuasa 67W secara berwayar, tiada pengecasan wayarles disediakan.
Sebagai sebuah peranti flagship Xiaomi, sistem pengimejan di MIX Flip turut mengguna pakai sistem kamera Leica Summilux. Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Light Fusion 800 dan kamera telefoto 50MP, menyokong zum optikal 2x. Untuk dimuatkan dalam badan kompak, kamera telefoto ini mengguna pakai lensa telefoto terapung Leica 47mm.
Sistem operasi yang digunakan pada MIX Flip adalah HyperOS berasaskan Android 14. Ia didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam, putih, ungu dan ungu edisi nylon fiber.
Harga Xiaomi MIX Flip
Sebanyak tiga varian yang diperkenalkan bagi Xiaomi MIX Flip dan ia dilancarkan di pasaran China pada harga seperti berikut:
- Xiaomi MIX Flip (RAM12GB dan storan 256GB) – CNY5,999 (~RM3,868)
- Xiaomi MIX Flip (RAM12GB dan storan 512GB) – CNY6,499 (~RM4,190)
- Xiaomi MIX Flip (RAM16GB dan storan 1TB) – CNY7,299 (~RM4,706)
Harganya dilihat lebih murah berbanding Samsung Galaxy Z Flip 6. Untuk rujukan, Galaxy Z Flip 6 dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM4,999 untuk RAM 12GB dan storan 256GB.
Setakat ini, masih tiada maklumat sama ada MIX Flip ini akan dilancarkan di luar China, termasuklah di Malaysia. Untuk maklumat lebih lanjut, nantikan maklumat oleh Xiaomi Malaysia sekiranya ada.