ASUS Malaysia hari ini memperkenalkan dua laptop terbaru dalam siri ProArt, iaitu ProArt P16 dan ProArt PX13. Kedua-duanya berkongsi spesifikasi yang hampir serupa kerana diperkasa cip pemproses siri AMD Ryzen AI 300, GPU GeForce RTX sehingga 4070 serta didatangkan dengan skrin sentuh Lumina OLED beresolusi tinggi.
Harga ASUS ProArt P16 dan PX13 di Malaysia
Terdapat satu varian yang ditawarkan untuk kedua-dua P16 dan PX13. Berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- ASUS ProArt P16 (RAM LPDDR5X 32GB dan storan SSD 2TB) – RM12,999
- ASUS ProArt PX13 (RAM LPDDR5X 32GB dan storan SSD 1TB) – RM9,999
Sementara itu, setiap pembelian ProArt P16 dan PX13 turut akan disertakan sekali bersama langganan 1 tahun Microsoft 365, Microsoft Office Home & Student, 3 bulan langganan Adobe Cloud, penyesuai USB-A ke RJ45 dan beg galas ProArt. Lebih menarik, ASUS juga bekerjasama dengan CapCut untuk menawarkan langganan 6 bulan CapCut Pro kepada pembeli laptop terbaru ini.
Sebagai laptop berkemampuan AI tinggi, kedua-dua laptop ini turut didatangkan dengan ciri AI yang dibangunkan ASUS sendiri iaitu StoryCube dan MuseTree. StoryCube membolehkan pengguna mengurus koleksi fail media dan mengkategorikan imej dengan lebih cekap, manakala MuseTree pula adalah aplikasi membenarkan pengguna menjana imej AI dengan lebih kreatif menggunakan peta, di samping menyimpan segala imej yang dijana.
Spesifikasi laptop ASUS ProArt P16
ASUS ProArt P16 dan PX13 banyak berkongsi ciri yang serupa, tetapi dalam saiz yang berbeza. P16 menggunakan skrin sentuh berukuran 16-inci Lumina OLED beresolusi 4K. Paparan itu juga ada kadar penyegaran 60Hz, kecerahan puncak 500 nits, cakupan warna penuh DCI-P3 serta menerima pengesahan Pantone untuk berikan warna terpapar cantik.
Kesemua komponen skrin itu dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass NBT. Selain menyokong sentuhan jari, skrin laptop ini turut menyokong pen stailus ASUS Pen 2.0. Lebih menarik, pada pad sesentuh laptop ini juga ia didatangkan dengan ASUS DialPad membolehkan kawalan fizikal yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi bagi keperluan kerja dan produktiviti.
Atas papan utama, laptop P16 ini dikuasakan cip pemproses AMD Ryzen AI 9 370 HX. Cip itu ada NPU dengan keupayaan mengendalikan pemprosesan AI setinggi 50 TOPS, manakala GPU NVIDIA GeForce RTX 4070 yang digunakan mempunyai kebolehan mengenadlikan pemprosesan AI sehingga 321 TOPS. GPU-nya turut menampilkan ciri RTX AI untuk menyediakan proses kerja yang lebih pantas dalam perisian DaVinci Resolve, Adobe Premiere Pro dan Autodesk Arnold.
Laptop ini dipadankan dengan RAM LPDDR5X 32GB dan storan PCIe 4.0 SSD 2TB. Kapasiti bateri yang dilengkapkan adalah sebesar 90Whr dan untuk sistem penyejukan, ia menggunakan tiga kipas dengan sebatian penyejuk cecair berasaskan logam untuk berikan penyejukan laptop yang efisien. Sistem bunyi pula dilengkapkan dengan 6 speaker yang ditala Harman Kardon bersama ciri Dolby Atmos
Walaupun berkuasa tinggi, laptop ini ada tahap mudah alih tinggi dengan badan nipis 14.9 mm dan berat hanya 1.85kg. Badan laptop ini juga diperbuat daripada bahan tahan lasak yang melepasi gred tentera. Penawaran port I/O pada laptop ini juga mencukupi, dengan terdapat port seperti satu USB-C 4, satu USB-C 3.2, dua USB-A 3.2, satu HDMI 2.1, satu jek audio 3.5mm dan satu slot kad SD Express 7.0.
Spesifikasi PX13
ProArt PX13 adalah laptop yang lebih kecil, berukuran 13-inci. Ia juga ada engsel yang boleh dilipat 360 darjah untuk menyokong pelbagai mod penggunaan termasuklah tablet.
Di bahagian skrin, ia menggunakan panel paparan sentuh Lumina OLED dengan resolusi 3K dan kadar penyegaran 60Hz. Skrinnya turut ada cakupan warna penuh DCI-P3, pengesahan Pantone, serta menyokong pen stailus ASUS Pen 2.0 dengan tahap tekanan 4096 dan dilindungi kaca Corning Gorilla NBT.
Meskipun dengan rekaan sedikit berbeza dengan P16, laptop ini turut DialPad di pad sesentuh untuk kegunaan pelbagai fungsi produktiviti. Laptop PX13 ini juga dikuasakan cip pemproses Ryzen AI HX 370, tetapi digandingkan dengan GPU NVIDIA RTX 4060 berbanding RTX 4070. RAM yang digunakan juga adalah jenis LPDDR5X seluas 32GB dan storan PCIe 4.0 SSD yang lebih kecil pada 1TB.
Tenaga laptop ini disalurkan oleh bateri berkapasiti 73Whr dan ia menampilkan sistem penyejukan dua kipas bersama sebatian penyejuk cecair berasaskan logam untuk meningkatkan keberkesanan penyejukan laptop. Antara port I/O yang ditawarkan pada laptop ini adalah satu USB-C 3.2, dua USB-C 4, satu HDMI 2.1, satu jek audio 3.5mm dan pembaca kad Mikro-SD UHS-II.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk ProArt P16 dan ProArt PX13.