Google telah secara rasminya mengumumkan keluarga Google Pixel 9 mereka. Menarik untuk pelancaran kali ini adalah buat pertama kalinya Pixel 9 Pro hadir dalam saiz yang lebih “kompak”. Jadi pengguna yang inginkan telefon kecil, bolehlah mendapatkannya. Tidak termasuk varian yang boleh lipat, dua model yang dilancarkan ialah:
- Google Pixel 9 Pro
- Google Pixel 9 Pro XL
Bonggol kamera Pixel 9 Pro macam Dynamic Island?
Satu perubahan ketara Google Pixel 9 berbanding Google Pixel 8 adalah bonjolan kamera belakangnya. Generasi terdahulu menampilkan bonjolan kamera yang melintang daripada sisi ke sisi. Pada kali ini, ia terapung di bahagian belakang berbentuk pil. Bonjolan kamera itu kelihatan seperti Dynamic Island pada iPhone dan ia menempatkan kelengkapan kamera Pixel 9.
Kedua-dua varian Pixel 9 dilengkapi komponen kamera yang sama. Mereka gunakan konfigurasi tiga kamera belakang dengan kamera utama diberikan sensor 50MP dan dua lagi kamera 48MP, masing-masing untuk ultralebar dan telefoto 5 kali zum optikal. Di bahagian depan, kamera selfie diperkasa sensor 42MP.
Selain harware, Google turut masukkan beberapa fungsi computational photography yang baharu untuk model kali ini. Salah satunya adalah Add Me yang membolehkan subjek dimasukkan ke dalam gambar secara maya.
Pixel 9 Pro ada skrin berkecerahan 3,000 nits
Beza terbesar antara Pixel 9 Pro XL dan Pixel 9 Pro adalah pada saiz skrin. Seperti namanya, Pixel 9 Pro XL ada skrin lebih besar pada 6.8” sementara Pixel 9 Pro ada skrin 6.3”.Panel daripada jenis Super Actua LTPO digunakan yang katanya boleh mencapai tahap kecerahan puncak setinggi 3,000 nits. Paparan telefon ini juga mempunyai kahdar segar semula boleh laras antara 1 hingga 120Hz bergantung kepada kandungan yang ingin dipaparkan.
Sebagai perlindungan, komponen paparan Pixel 9 dilapisi kaca rata Corning Gorilla Glass Victus 2.
Pixel 9 Pro diperkasa Google Tensor G4
Di bahagian teras, siri Google Pixel 9 diperkasa SoC Google Tensor G4 terbaharu. Ia adalah SoC khas yang dibangunkan bersama DeepMind yang memfokuskan pada kecekapan dan prestasi pemerosesan berkaitan AI. SoC tersebut digandingkan bersama RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB.
Berbalik kepada Google Tensor G4, ia adalah SoC pertama yang mendukung Gemini Nano Multimodal. Ia bermakna pemerosesan AI yang melibatkan pelbagai jenis sumber seperti teks, audio, dan video boleh dilakukan di dalam peranti itu sendiri tanpa melibatkan sambungan Internet. Contoh ciri baharu yang boleh pengguna manfaatkan adalah Gemini Live, ciri seperti Google Assistant tapi mempunyai tahap interaksi yang lebih semula jadi. Kemudian, Pixel Studio juga boleh digunakan untuk menjana imej, seperti fungsi Image Playground Apple ataupun Sketch to Image Samsung.
Pixel 9 Pro dengan bateri sehingga 5,060mAh
Varian XL yang paling besar diberikan sistem bateri berkapasiti 5,060mAh sementara varian lebih kecil ada bateri 4,700mAh. Kapasiti bateri tak banyak bezanya berbanding generasi yang dulu. Namun, pada segi sistem pengecasan, ada naik taraf diberikan. Mereka ini menyokong pengecasan pantas 45W secara berkabel. Dikatakan yang daripada hampir 0% hingga 70% mengambil masa 30 minit.
Harga jualan Pixel 9 Pro
Pixel 9 Pro akan masuki pasaran Malaysia. Walau bagaimanapun, kita masih belum ada harga rasminya untuk pasaran kita. Sementara menunggu, berikut adalah harga rasmi Google Pixel 9 Pro di Amerika Syarikat.
- Pixel 9 Pro (128GB) – USD1,099 (RM4,891)
- Pixel 9 Pro (256GB) – USD1,199 (RM5,339)
- Pixel 9 Pro (512GB) – USD1,219 (RM5,425)
- Pixel 9 Pro XL (128GB) – USD1,199 (RM5,336)
- Pixel 9 Pro XL (256GB) – USD1,299 (RM5,781)
- Pixel 9 Pro XL (512GB) – USD1,319 (RM5,870)
- Pixel 9 Pro XL (512GB) – USD1,519 (RM6,760)
Anda boleh layari laman rasmi Google Pixel 9 Pro untuk maklumat lanjut.