Anda pasti pernah dengar tentang VPN betul, tak? VPN atau Virtual Private Network ada banyak kelebihan untuk tingkatkan tahap keselamatan dan privasi anda sewaktu anda berada dalam talian. VPN berfungsi dengan mengenkripsi data yang dihantar ke internet serta menyembunyikan alamat IP anda dan menggantikannya dengan alamat IP di sesuatu server VPN. Ini sekali gus dapat membantu melindungi identiti dan lokasi semasa anda daripada pihak tak bertanggungjawab.
Malah, VPN juga membolehkan anda untuk mengakses kandungan atau maklumat yang dihalang secara geolock disebabkan ia memberikan anda keupayaan untuk menyambung ke server negara tertentu.
Namun, kebanyakan VPN tidak boleh diakses secara percuma dan memerlukan langganan bulanan ataupun tahunan. Tetapi, sebenarnya ada juga beberapa VPN yang memberikan akses secara percuma, sambil masih memberikan tahap keselamatan yang baik, kelajuan cukup pantas dan tersedia dengan pelbagai lokasi yang anda boleh pilih.
Jadi, tanpa membuang masa, di sini saya senaraikan 5 VPN bagus yang anda boleh gunakan secara percuma.
1. Proton VPN – Data tanpa had
Proton VPN diasaskan oleh syarikat Switzerland, Proton AG, dan ia antara VPN percuma terbaik di pasaran. Kelebihan terbesar Proton VPN ini adalah ia menawarkan akses percuma dengan data tanpa had, tidak seperti VPN percuma lain yang mengenakan had data antara 500MB dan 10GB. Ia juga ada kelajuan yang pantas serta lengkap ciri kill switch yang boleh diakses secara percuma untuk kukuhkan tahap keselamatan sekiranya sambungan VPN anda terhenti tiba-tiba.
Namun begitu, kekurangan Proton VPN ini adalah, sementara ia ada akses ke 300 server di enam lokasi negara, anda tak boleh memilih untuk sambung ke server yang mana. Ini juga bermakna ia tak ada fungsi geoblocking untuk membolehkan anda mengakses kandungan penstriman di negara tertentu.
Selain itu, penggunaan VPN juga terhad untuk satu peranti pada satu masa. Jika tolak perkara itu, Proton VPN masih merupakan pilihan VPN yang baik, dan ia juga bebas iklan untuk versi percuma. Ia boleh dimuat turun melalui Windows, Mac, Android, iOS, Linux serta tersedia di Extension Chrome. Dapatkan maklumat lanjut di laman web Proton VPN.
2. PrivadoVPN – Sesuai untuk unblock Netflix atau Disney+
Pirvado juga adalah VPN percuma yang menarik. Walaupun tak menawarkan penggunaan data tanpa had, ia ada memberikan 10GB data setiap bulan dengan kelajuan pantas. Yang menariknya, kalau telah mencapai had data sekalipun, anda masih boleh gunakannya, tetapi dengan kejaluan 1Mbps. Ia mungkin agak perlahan, tetapi masih memadai untuk penggunaan internet yang ringkas.
Tetapi, satu kelebihan Privado ini adalah ia menyediakan akses ke 10 negara, dengan anda boleh memilih untuk sambung ke 13 lokasi server. Disebabkan itu, ia juga berfungsi dengan baik untuk membolehkan anda mengakses kandungan Netflix dan Disney+ di negara lain. Selain itu, Privado juga ada fungsi keselamatan seperti kill switch dan always on VPN untuk versi percumanya.
Dalam masa sama, Privado turut ada sokongan Live Chat di laman web mereka. Namun, macam Proton VPN, Privado juga boleh digunakan hanya satu sambungan pada setiap masa. Ia tersedia di Windows Mac, Android, iOS, dan Linux. Tetapi tiada Extension Chrome. Dapatkan maklumat lanjut di laman web PrivadoVPN.
3. Hide.me – Boleh lakukan DNS tersuai
Lagi pilihan yang ada adalah Hide.me VPN. Menariknya, ia merupakan VPN yang berpengkalan di Malaysia yang telah wujud sejak tahun 2012. Meskipun begitu, ia tidak ada server di Malaysia. Versi percumanya menyediakan data tanpa had untuk penggunaan VPN, tetapi dengan kelajuan yang dihadkan. Menurut Hide.me, kelajuannya dihadkan bergantung pada trafik server. Seperti VPN lain, Hide.me menyokong satu sambungan peranti pada satu masa.
Terdapat sebanyak 8 lokasi server yang pengguna boleh akses di dan antaranya adalah Finland, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Ia juga mempunyai banyak ciri keselamatan termasuk kill switch, split tunneling serta membolehkan anda untuk menghasilkan DNS tersuai, semua dalam versi percumanya.
Seperkara menarik tentang Hide.me, ia ada sokongan Live Chat di laman web mereka. Selain boleh dimuat turun Windows, Mac, Android, dan iOS, Hide.me juga boleh digunakan di Extension Chrome. Dapatkan maklumat lanjut di laman web Hide.me.
4. Windscribe – Mampu digunakan banyak peranti serentak
Windscribe, sebuah perkhidmatan VPN dari Kanada juga menawarkan ciri baik dan mencukupi bagi versi percumanya. Ia memberikan akses VPN kepada 14 lokasi server di 11 negara, lebih banyak berbanding VPN percuma yang lain. Namun, terdapat had data yang dikenakan iaitu pada 10GB dan tidak seperti Privado VPN, Windscribe tidak boleh digunakan selepas anda kehabisan data.
Apa yang membuatkan Windscribe istimewa adalah, ia tidak terhad untuk satu peranti dan anda boleh gunakannya di seberapa banyak peranti yang anda nak secara serentak. Ini satu kelebihan besar memandangkan kebanyakan VPN lain hanya hadkan satu peranti untuk sambungan VPN. Ia juga menggunakan protokol WireGuard bermaksud anda boleh mendapat sambungan berkelajuan pantas.
Windscribe boleh diakses melalui Windows, Mac, Android, iOS dan Extension Chrome. Dapatkan maklumat lanjut di laman web Windscribe.
5. Hotspot Shield Basic – VPN paling asas
Akhir sekali adalah Hotspot Shield Basic VPN. Ia bukanlah yang terbaik jika nak dibandingkan dengan VPN percuma lain, tetapi masih memadai dengan ciri yang mencukupi. Hotspot Shield memberikan penggunaan VPN tanpa had data, jadi anda boleh gunakannya dengan bebas. Tetapi, kekurangannya adalah ia dikenakan had kelajuan pada 2Mbps.
Selain itu, ia juga hanya menawarkan akses ke satu lokasi iaitu Amerika Syarikat. Maka, jika anda mahu menstrim kandungan Netflix di negara lain, ia tidak boleh dilakukan. Selain itu, kelemahan Hotspot Shield Basic ini juga ia didatangkan dengan iklan dan tiada ciri keselamatan seperti kill switch untuk melindungi anda jikalau sambungan VPN terhenti. Tetapi, antara mukanya mesra pengguna dan mudah untuk digunakan
Ia tersedia Windows, Mac, Android, iOS, dan Linux, serta boleh digunakan di Extension Chrome. Dapatkan maklumat lanjut di laman web Hotspot Shield.