Membeli aplikasi atau kandungan di dalam Google Playstore boleh dibuat menggunakan kad debit/kredit atau menerusi bil syarikat telekomunikasi. Tetapi ada cara lain untuk membolehkan pembelian dibuat, iaitu membeli kad hadiah Google Play yang boleh ditukarkan kepada kredit Google Play.
Akhirnya, Malaysia kini disenaraikan sebagai salah satu negara yang menawarkan kad hadiah Google Play untuk dibeli. Menurut laman web Google Support, kad hadiah Google Play boleh dibeli dalam nilai RM50, RM100 dan RM200. Syarat dan terma yang disertakan turut menyatakan, kad hadiah dan tambah nilai ini dikeluarkan oleh Google Payment Malaysia Sdn. Bhd.
Laman rasmi kad hadiah Google Play di Malaysia buat masa ini hanya menyenaraikan 7-Eleven sebagai wakil penjual tunggalnya.
Kami menghubungi 7-Eleven dan mereka memaklumkan, kad hadiah Google Play kini telah dijual di beberapa cawangan terpilih. Ia akan diperluaskan lagi di seluruh negara secara berperingkat. Pengumuman rasmi tentangnya akan dibuat tidak lama lagi.
7-Eleven telah sekian lama menjadi wakil penjual kad hadiah barangan digital seperti Steam, Spotify dan Netflix. Jadi, tidak menghairankan mereka akan turut menjual kad hadiah Google Play.
Terima kasih @KevinNgTK atas makluman ini.
[Sumber: Google Play, AndroidPolice]