Sistem operasi terbaru Huawei, EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie hari ini telah mula diedarkan. Menurut Huawei Malaysia, pengguna Mate 10 dan Mate 10 Pro boleh mula memuat turun EMUI 9.0 ke dalam peranti mereka bermula hari ini.
Jika tiada notifikasi automatik diterima, pengguna boleh memuat turun EMUI 9.0 secara manual di dalam Settings > System > System Update > Check For Updates.
EMUI 9.0 diperkenalkan bersama siri Mate 20, yang dilancarkan pada bulan Oktober lepas. Selain Huawei, sistem operasi EMUI turut digunakan di dalam peranti Honor. Honor sendiri telah memaklumkan, tiga peranti mereka mula menerima EMUI 9.0 bulan ini iaitu Honor View 10, Honor 10 dan Honor Play.
Menurut twitter @HuaweiEMUI, Siri P20 juga akan menerima EMUI 9.0 tidak lama lagi. Dijangka sebelum bermula tahun baru 2019.
https://twitter.com/HuaweiEMUI/status/1074975327833645056
EMUI 9.0 pertama kali diperkenalkan di telefon pintar Huawei Mate 20. Ia direka dengan antaramuka minimalis dan lebih mudah digunakan. Antaramuka ini dioptimasi untuk memberikan lebih prestasi.
Selain itu, EMUI 9.0 turut ditambah dengan GPU Turbo 2.0. Huawei menyatakan, generasi kedua ini memberikan prestasi grafik lebih tinggi di samping mengurangkan lengah sentuhan sehingga 36%. Selain itu, suhu peranti juga lebih rendah sehingga 3.6-darjah celcius.
EMUI 9.0 juga didakwa 25.8% lebih responsif, dan boleh melancarkan aplikasi 102ms lebih pantas dari sebelumnya. Kelancaran sistem juga meningkat sehingga 12.9%, sehingga anda boleh merasakan perbezaan animasi OS, pertukaran aplikasi dan sebagainya kelihatan lebih lancar.
EMUI 9.0 juga datang bersama beberapa kebolehan AI, kebanyakan menerusi program Huawei HiVision. Program ini menyerupai Samsung Bixby, di mana ia boleh menganalisa gambar dan memberikan maklumat berkaitan. HiVision boleh mengelpasti mercu tanda, buku, kereta, makanan serta kalori makanan tersebut. Ia juga boleh menterjemah bahasa masa nyata seperti Google Translate.