GXBank menyambung ulang tahun pertamanya dan mereka mengumumkan beberapa perubahan yang boleh dinikmati pengguna mereka dalam tahun 2025. Pemberian cashback tanpa had diteruskan bila anda berbelanja dengan GX Debit Card. Namun, terdapat perubahan pada kadar pulangan dan kadar tersebut akan berkuat kuasa antara 6 November 2024 hingga 6 Mei 2024.
Kadar pulangan GX Debit Card untuk perbelanjaan luar negara
Kadar 1% cashback masih dikekalkan untuk penggunaan GX Debit Card di luar negara. Manfaat yang masih sama adalah tiada markup dikenakan ke atas tukaran matawang asing dan juga tiada cas pengeluaran di ATM luar negara. Akhir sekali, pengguna Grab di luar negara juga nikmati 3x mata GrabRewards.
Kadar pulangan GX Debit Card untuk perbelanjaan dalam negara
Kadar pulangan dan manfaat untuk transaksi luar negara dilihat tidak berubah. Perubahan yang dilakukan adalah pada transaksi dalam negara. Kadar pulangan turun daripada 1% kepada 0.1%. Lain-lain dilihat sama seperti 1.5x GrabRewards untuk perbelanjaan Jaya Grocer dan tiada cas pengeluaran di ATM MEPS. Pengguna juga nikmati sifar caj tahunan untuk kad debit.
Sejak dilancarkan, GXBank kini memiliki hampir 1 juta pelanggan dan telah memproses lebih 24 juta transaksi kad debit dan QR.
GX FlexiCredit: bukan loan, tapi kemudahan kredit
Sekrang, GXBank juga tawarkan kemudahan kredit. Pelanggan boleh mengakses kemudahan pinjaman fleksibel sehingga RM150,000 dengan kelulusan segera dan tempoh pinjaman sehingga 3 tahun tanpa sebarang caj tambahan kalau nak lakukan bayaran awal.
Menurut halaman FlexiCredit, kadar bunga yang dikenakan adalah 3.88% p.a. (EIR 6.62% p.a.) dan GXBank tawarkan cashback RM20 bila mereka aktifkan fungsi fleksikredit ini. GXBank memerlukan anda untuk melog masuk ke akaun KWSP i-Akaun untuk tujuan pengesahan.
GX Biz Banking: Solusi kredit untuk perusahaan kecil sederhana
GXBank mengumumkan mereka akan melancarkan produk untuk perusahaan kecil dan sederhana dalam suku pertama 2025 dikenali sebagai GX Biz Banking. GX Biz Banking akan menyediakan produk seperti talian kredit untuk perniagaan mendapatkan dana pantas dan fokus utama adalah semua transaksi dilakukan secara dalam talian, pertama seumpamanya dalam negara.
Antara ciri menarik yang bakal dinikmati adalah seperti pulangan harian sama seperti pelanggan komersial. GX Biz Banking akan diperkenalkan pada Merchant Grab terlebih dahulu seblum dibuka kepada peniaga di luar ekosistem mereka.
Pulangan harian kekal 2.00% p.a
Seperti yang diumumkan beebrapa ketika, kadar pulangan harian untuk akaun simpanan biasa adalah 2.00% p.a yang dikreditkan secara harian ke dalam akaun pengguna. Sebelum itu, kadar yang diberikan GXBank adalah 3.00% p.a dan mereka memaklumkan yang lebih 800 ribu pelanggan mereka telah beroleh pulangan berjumlah RM29 juta.
Anda boleh layari laman rasmi GXBank untuk maklumat lanjut.