Boost Bank telah mengumumkan bahawa mereka kini menawarkan pulangan tunai sebanyak 2% untuk perbelanjaan menggunakan kad debit Boost Bank. Ia merupakan promosi yang Boost Bank adakan untuk bulan Disember, dan ini adalah perkara yang anda perlu tahu tentangnya.
Pulangan tunai 2% bagi perbelanjaan dalam dan luar negara
Promosi pulangan tunai 2% yang Boost Bank sediakan ini akan berjalan selama satu bulan, bermula 1 Disember sehingga 31 Disember 2024. Pulangan tunai akan terpakai untuk perbelanjaan dalam talian ataupun fizikal menggunakan kad debit Boost Bank yang dilakukan di dalam negara dan luar negara. Ini termasuk untuk kedua-dua kad debit Boost Bank fizikal atau kad debit maya Boost Bank.
Menurut laman FAQ kempen, jumlah pulangan tunai akan dibundarkan kepada dua titik perpuluhan terdekat, bermakna jika pulangan tunai adalah RM0.016, ia akan dibundarkan kepada RM0.02. Boost Bank turut menyatakan jumlah pulangan tunai yang layak diterima mestilah sekurang-kurangnya RM0.01.
Sebagai contoh, jika anda berbelanja sebanyak RM100, anda akan terima pulangan tunai sebanyak RM2, dan jika anda berbelanja RM1,000, pulangan tunai RM20 akan anda terima.
Pulangan tunai 2% Boost Bank dihadkan pada RM40
Bagaimanapun, terdapat had pulangan tunai yang ditetapkan oleh Boost Bank untuk promosi ini. Berbeza dengan GXBank yang tawarkan pulangan tunai tanpa had, pulangan tunai Boost Bank dihadkan pada RM40 untuk setiap pengguna. Apabila jumlah pulangan tunai mencapai RM40, tiada pulangan tunai akan diberikan selepas itu.
Boost Bank juga menyatakan yang pulangan tunai akan dikredit ke dalam akaun simpanan Boost Bank anda serta-merta sesudah transaksi berjaya dilakukan. Namun, untuk kes tertentu, pengkreditan pulangan tunai boleh mengambil masa beberapa hari selepas dari tarikh sesebuah transaksi itu dilakukan.
Selain itu, promosi pulangan tunai 2% ini memiliki had kempen sebanyak RM2 juta. Memandangkan setiap pengguna kad debit Boost Bank boleh menikmati pulangan tunai maksimum RM40, promosi ini boleh memanfaatkan kira-kira 50,000 pengguna.
Kelayakan untuk terima pulangan tunai 2% ini juga tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan Boost Bank. Antara transaksi yang tidak layak untuk mendapat pulangan tunai 2% ini adalah seperti pengeluaran tunai di ATM dan pemindahan wang.
Cara mohon kad debit Boost Bank
Sekiranya anda masih belum ada kad debit Boost Bank dan mahukannya, anda boleh memohon secara percuma melalui aplikasi Boost Bank. Sementara menunggu kad fizikal sampai, anda boleh mula berbelanja menggunakan nombor kad debit maya Boost Bank yang disediakan.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kad fizikal ada nombor kad yang berbeza daripada kad maya. Jadi, jika anda menyimpan nombor kad debit maya untuk sebarang langganan, anda perlu kemas kini semula menggunakan nombor yang tertera pada kad fizikal.
Terdapat yuran tahunan sebanyak RM8 dikenakan untuk kad debit fizikal Boost Bank, tetapi ianya percuma untuk tahun pertama. Boost bank turut mengenakan caj RM1 untuk pengeluaran tunai di ATM melalui rangkaian MEPS atau RM12 untuk pengeluaran di luar negara melalui rangkaian Mastercard.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari kad debit Boost Bank di sini.