Pahang mensasarkan untuk jadi hab pemasangan dan pengeluaran EV di wilayah Pantai Timur. Itulah kenyataan yang dikeluarkan Datuk Mohamad Nizar Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, dan Inovasi Negeri Pahang sewaktu menggulung hujah dalam sesi debat Belanjawan 2025 untuk negeri Pahang di Dewan Undangan Negeri.
Antara sebab gagasan tersebut digarap adalah selepas melihat terdapatnya peningkatan dramatik penjualan EV dalam separuh pertama tahun 2024. Sebanyak hampir 11 ribu unit EV berjaya dijual dalam tempoh tersebut. Ia adalah dua kali ganda berbanding 4.4 ribu unit EV dalam tempoh yang sama tahun 2023.
Jenama pengeluar EV pula didapati telah mula mewujudkan kemudahan pemasangan EV di negeri-negeri pantai barat seperti Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka kerana faktor kemudahan logistik yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, Datuk Mohamad Nizar mengatakan yang Pahang juga berpotensi untuk jadi tapak kemudahan pemasangan EV apabila siapnya projek ECRL yang katanya akan selesai sebelum 2027. Apabila beroperasi, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang akan berhubung secara langsung lantas memantapkan aspek logistik yang diperlukan.
Tambahan pula, kerajaan negeri Pahang tidak menunggu lama untuk membuktikan mereka serius. Pertengahan November 2024 yang lalu, kerajaan negeri mengumumkan kerjasama dengan Volt Industries Sdn. Bhd. untuk bangunkan rangkaian stesen pengecas EV negeri tu.
Objektif utama mereka adalah untuk menjadikan Pahang sebagai negeri paling mesra EV di Malaysia. Bagi menjayakannya, sebanyak 50 stesen EV dirancang akan dibina di seluruh negeri dengan belanja sebanyak RM250 juta.
ECRL Fasa 1 siap sebelum 31 Disember 2026
Fasa 1 Projek Laluan Rel Pantai Timur antara Kota Baru dan ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap sebelum 31 Disember 2026. Untuk fasa kedua yang menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang, ia dijangka siap sebelum 31 Disember 2027.
YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, berkata yang pihaknya sedang sedang lakukan kajian kebolehpasaran tentang barangan apa yang sesuai diangkut merentasi lalaun Rel Pantai Timur untuk 30 tahun yang akan datang.
Mereka menjangkakan komoditi seperti barangan automotif, arang batu, petrokimia, produk sawit, dan banyak lagi.Oleh yang demikian, kementerian juga akan meminta pihak pengendali untuk menyediakan gerabak yang sesuai untuk mengangkut barang-barangan ini.
Laluan ECRL 665km rentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor
Jajaran ECRL yang sedang dibina ini merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor sepanjang 665km. Dengan kelajuan maksimum 160km/j, gerabak penumpang ECRL dijangka mampu membawa penumpang daripada Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dalam masa 4 jam sahaja.
Sebanyak 22 stesen sedang dibina dengan pecahan mengikut negeri seperti berikut:
- 2 di Kelantan
- 6 di Terengganu
- 7 di Pahang
- 7 di Selangor
Sumber: Bernama