Xiaomi Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan barisan telefon kelas pertengahan terbaru, iaitu siri Redmi Note 14. Ia merangkumi empat model yang serupa seperti siri Redmi Note 13 terdahulu, iaitu Redmi Note 14 Pro+ 5G, Redmi Note 14 Pro 5G, Redmi Note 14 5G dan Redmi Note 14 4G.
Namun begitu, bagi model Redmi Note 14 Pro dan Pro+, ia kini menampilkan rekaan yang lebih teguh dan tahan lasak menggunakan “All-Star Armor Structure”, termasuk seperti bingkai aluminium kukuh, lapisan penyerap tenaga dan bahan polimer untuk serap hentakan.
Harga siri Redmi Note 14 di Malaysia
Berbanding siri Redmi Note 13 terdahulu, harga siri Redmi Note 14 kini lebih murah untuk kesemua modelnya. Berikut adalah harga jualan siri Redmi Note 14 di Malaysia:
Redmi Note 14 Pro+
- Redmi Note 14 Pro+ 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,699
- Redmi Note 14 Pro+ 5G (RAM 12GB + storan 512GB) – RM1,899
Redmi Note 14 Pro 5G
- Redmi Note 14 Pro 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,199 (Eksklusif pembelian dalam talian)
- Redmi Note 14 Pro 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,299
Redmi Note 14 5G
- Redmi Note 14 5G (RAM 6GB + storan 128GB) – RM799 (Eksklusif pembelian dalam talian)
- Redmi Note 14 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM899
Redmi Note 14
- Redmi Note 14 (RAM 8GB + storan 256GB) – RM699
Tempahan awal bagi Redmi Note 14 Pro+ 5G dan Redmi Note 14 Pro akan dibuka bermula 11 Januari hingga 15 Januari 2025. Manakala Redmi Note 14 5G dan Redmi Note 14 boleh dibeli orang ramai bermula 11 Januari 2025.
Sebagai promosi pelancarannya, mereka yang menempah model tertentu dalam siri Redmi Note 14 Pro akan menerima hadiah premium sehingga RM1,537, serta set hadiah BamBam eksklusif sementara stok masih ada. Hadiah premium tersebut termasuk:
- Lanjutan waranti satu tahun
- Percuma penggantian skrin selama 6 bulan
- Akses percuma Google One selama 3 bulan
- Langganan Spotify Premium selama 6 bulan
Untuk promosi pembelian dalam talian, dari 11-15 Januari 2025, varian Redmi Note 14 Pro 5G dengan RAM 8GB dan storan 256GB boleh didapatkan pada harga lebih murah RM1,099 (harga asal RM1,199). Pembelian juga akan didatangkan dengan Xiaomi Smart Band 9 bernilai RM199.
Manakala, Redmi Note 14 5G untuk varian RAM 6GB dan storan 128GB ditawarkan pada harga lebih murah RM749 dan disertakan percuma Xiaomi Smart Band 9 untuk pembelian dari 11-24 Januari 2025.
Terdapat juga promosi bagi khas Redmi Note 14 Pro, di mana pembeli yang membeli Redmi Note 14 Pro di antara 11-15 Januari di kedai fizikal Xiaomi akan terima percuma penulen udara Xiaomi Smart Air Purifier 4 Compact, sementara stok masih ada. Telefon tersebut perlu diambil dalam masa tiga hari, di antara 16-19 Januari.
Anda boleh dapatkan kesemua empat model dalam siri Redmi Note 14 di stor dalam talian Xiaomi, Lazada dan juga Shopee.
Spesifikasi Redmi Note 14 Pro+ 5G
Redmi Note 14 Pro+ 5G adalah varian paling mewah dalam barisannya. Ia menggunakan paparan Crystal AMOLED 6.67-inci dengan resolusi 2712×1220 dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan puncak yang disokong panelnya adalah setinggi 3,000 nits dan ia ada tahap PWM Dimming 1920Hz.
Untuk perlindungan, komponen skrinnya dilapisi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 dan telefon turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP68. Atas papan utama, ia diperkasa cip Snapdragon 7s Gen 3 yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan UFS 2.2 seluas 512GB.
Di bahagian pengimejan, Redmi Note 14 Pro+ 5G dilengkapi tetapan tiga kamera. Ia terdiri daripada kamera utama 200MP OIS f/1.65, kamera ultralebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 2MP. Di hadapan, terdapat kamera 20MP f/2.2 yang diletakkan dalam lubang skrin.
Tenaga telefon disalurkan oleh bateri berkapasiti 5,110mAh yang sokong pengecasan 120W HyperCharge melalui USB-C. Kepala pengecas turut disertakan di dalam kotak. Sistem audionya menggunakan speaker stereo dengan teknologi Dolby Atmos.
Ciri ketersambungan yang disokong termasuk Bluetooh 5.4, 5G dan NFC. Terdapat juga pengimbas cap jari dalam skrin dan ia menjalankan sistem operasi HyperOS berasaskan Android 14 sejurus keluar kotak. Redmi Note 14 Pro+ 5G tersedia dalam tiga warna iaitu ungu, biru dan hitam.
Spesifikasi Redmi Note 14 Pro 5G
Redmi Note 14 Pro 5G berkongsi rupa dan spesifikasi hampir sama dengan model Pro+. Di hadapan, ia didatangkan dengan paparan Crystal AMOLED 6.67-inci beresolusi 2712×1220. Kadar penyegaran yang dimiliki panel adalah 120Hz, dan ia turut sokong kecerahan puncak 3,000 nits dan tahap PWM Dimming 1920Hz.
Melapisi kaca skrinnya adalah kaca Gorilla Glass Victus 2 dan ia turut memiliki kalis percikan air dan debu IP68.
Namun, berbanding cip Qualcomm, Redmi Nnote 14 Pro 5G dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7300-Ultra. Cip itu dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan UFS 2.2 seluas 256GB.
Kamera di belakangnya menggunakan tetapan tiga kamera yang sama. Ia adalah kamera utama 200MP f/1.65, kamera ultralebar 8MP F/2.2 dan kamera makro 2MP f/2.4. Terdapat juga kamera selfie 20MP di bahagian hadapan.
Berkenaan tenaga, sementara ia turut memiliki bateri berkapasiti 5,110mAh, tetapi pengecasan yang disokong adalah lebih perlahan pada 45W berbanding 120W. Pengecas 45W disertakan dalam kotak.
Selain itu, ia juga menggunakan speaker stereo yang sokong Dolby Atmos dan ada pengimbas jap jari dalam skrin. Untuk ketersambungan, fungsi seperti NFC, Bluetooth 5.4 dan 5G boleh anda temukan pada telefon dan ia didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu ungu, hijau dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Note 14 Pro+ 5G dan Redmi Note 14 Pro 5G.