Xiaomi Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan barisan telefon kelas pertengahan terbaru, iaitu siri Redmi Note 14. Ia merangkumi empat model yang serupa seperti siri Redmi Note 13 terdahulu, iaitu Redmi Note 14 Pro+ 5G, Redmi Note 14 Pro 5G, Redmi Note 14 5G dan Redmi Note 14 4G.
Harga siri Redmi Note 14 di Malaysia
Berbanding siri Redmi Note 13 terdahulu, harga siri Redmi Note 14 kini lebih murah untuk kesemua modelnya. Berikut adalah harga jualan siri Redmi Note 14 di Malaysia:
Redmi Note 14 Pro+
- Redmi Note 14 Pro+ 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,699
- Redmi Note 14 Pro+ 5G (RAM 12GB + storan 512GB) – RM1,899
Redmi Note 14 Pro 5G
- Redmi Note 14 Pro 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,199 (Eksklusif pembelian dalam talian)
- Redmi Note 14 Pro 5G (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,299
Redmi Note 14 5G
- Redmi Note 14 5G (RAM 6GB + storan 128GB) – RM799 (Eksklusif pembelian dalam talian)
- Redmi Note 14 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM899
Redmi Note 14
- Redmi Note 14 (RAM 8GB + storan 256GB) – RM699
Tempahan awal bagi Redmi Note 14 Pro+ 5G dan Redmi Note 14 Pro akan dibuka bermula 11 Januari hingga 15 Januari 2025. Manakala Redmi Note 14 5G dan Redmi Note 14 boleh dibeli orang ramai bermula 11 Januari 2025.
Sebagai promosi pelancarannya, mereka yang menempah model tertentu dalam siri Redmi Note 14 Pro akan menerima hadiah premium sehingga RM1,537, serta set hadiah BamBam eksklusif sementara stok masih ada. Hadiah premium tersebut termasuk:
- Lanjutan waranti satu tahun
- Percuma penggantian skrin selama 6 bulan
- Akses percuma Google One selama 3 bulan
- Langganan Spotify Premium selama 6 bulan
Untuk promosi pembelian dalam talian, dari 11-15 Januari 2025, varian Redmi Note 14 Pro 5G dengan RAM 8GB dan storan 256GB boleh didapatkan pada harga lebih murah RM1,099 (harga asal RM1,199). Pembelian juga akan didatangkan dengan Xiaomi Smart Band 9 bernilai RM199.
Manakala, Redmi Note 14 5G untuk varian RAM 6GB dan storan 128GB ditawarkan pada harga lebih murah RM749 dan disertakan percuma Xiaomi Smart Band 9 untuk pembelian dari 11-24 Januari 2025.
Terdapat juga promosi bagi khas Redmi Note 14 Pro, di mana pembeli yang membeli Redmi Note 14 Pro di antara 11-15 Januari di kedai fizikal Xiaomi akan terima percuma penulen udara Xiaomi Smart Air Purifier 4 Compact, sementara stok masih ada. Telefon tersebut perlu diambil dalam masa tiga hari, di antara 16-19 Januari.
Anda boleh dapatkan kesemua empat model dalam siri Redmi Note 14 di stor dalam talian Xiaomi, Lazada dan juga Shopee.
Spesifikasi Redmi Note 14 5G
Redmi Note 14 5G hadir dengan skrin 6.67-inci jenis AMOLED 120Hz dan kadar penyegaran 120Hz. Panel paparan tersebut juga ada resolusi FHD+ 2400×1080 dengan kecerahan puncak 2,100 nits, dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass 5. Untuk perlindungan, telefon ini diiktiraf kalis percikan air dan debu IP64.
Kuasa penggerak utama telefon ini adalah MediaTek Dimensity 7025-Ultra 6nm dengan kombinasi RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan UFS 2.2 seluas 256GB. Jika storan tidak mencukupi, ia menerima kad mikroSD membolehkan storan diperluas lagi 1TB.
Untuk menangkap gambar, Redmi Note 14 5G menggunakan tetapan tiga kamera sama seperti varian Pro dan Pro+. Ia merangkumi kamera ultralebar 8MP f/2.2, kamera makro 2MP f/2.4 dan sensor kamera utama lebih kecil 108MP f/1.7 dengan OIS. Tangkapan selfie boleh dilakukan dengan kamera 20MP yang diletakkan dalam lubang atas skrin.
Menghidupkan segala komponen telefon ini adalah bateri berkapasiti 5,110mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Telefon 5G ini juga ada speaker stereo dengan Dolby Atmos dan ada jek audio 3.5mm untuk sambungan audio berwayar.
Ia juga ada pengimbas cap jari dalam skrin dan sokong ciri ketersambungan seperti NFC, Bluetooth 5.3 dan WiFi 5. Sejurus keluar kotak, Redmi Note 14 5Gakan menjalankan HyperOS berasaskan Android 14 dan ia tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, ungu dan hijau.
Spesifikasi Redmi Note 14
Sementara itu, Redmi Note 14 4G turut mengekalkan rekaan yang serupa. Skrinnya sebesar 6.67-inci jenis AMOLED beresolusi FHD+ 2400×1080 dengan kadar penyegaran 120Hz. Kaca Corning Gorilla Glass 5 turut digunakan padanya, tetapi kecerahan puncak yang disokong sedikit lebih rendah pada 1,800 nits.
Tahap kekalisan air yang dimiliki Redmi Note 14 4G juga adalah lebih rendah pada IP54.
Telefon 4G ini dikuasakan cip MediaTek Helio G99 Ultra yang digabungkan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman 256GB. Seperti versi 5G-nya, Redmi Note 14 4G turut ada slot mikroSD membolehkan storan diperbesar sebanyak 1TB lagi.
Sistem kamera dipacu kamera utama 108MP f/1.7 tanpa OIS, kamera makro 2MP f/2.4 dan kamera depth 2MP f/2.4. Kamera hadapannya juga menggunakan sensor 20MP f/2.2.
Sistem bunyi pada telefon ini adalah jenis speaker stereo dengan Dolby Atmos dan ia juga ada jek audio 3.5mm untuk sambungan audio berwayar. Walaupun adalah model paling murah, telefon ini ada kapasiti bateri 5,000mAh, terbesar dalam barisan Redmi Note 14. Namun, pengecasan yang disokong hanya 33W.
Terdapat juga pengimbas cap jari dan ia menyokong Bluetooth 5.3, WiFi 5, tapi tiada NFC. Sistem operasi yang digunakan adalah HyperOS berasaskan Android 14. Ia boleh didapatkan dalam empat warna, iaitu hitam, biru, hijau dan ungu.
Untuk maklumat lagi lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Note 14 5G dan Redmi Note 14 4G.