Selepas teaser demi teaser dikeluarkan, Honor hari ini telah rasmi melancarkan Honor 400 Lite di Malaysia. Ia adalah sekuel kepada Honor 200 Lite tahun lalu, dengan Honor mengatakan model kali ini dilengkapi dengan ciri AI bertaraf flaghsip pada harga mampu milik dan menggelarkannya sebagai “pembunuh iPhone” dalam segmen bajet.
Harga dan promosi Honor 400 Lite

Honor 400 Lite boleh dibeli di Malaysia sekarang melalui stor online Honor, Lazada dan Shopee. Di Malaysia, Honor 400 Lite ditawarkan dalam satu konfigurasi dan berikut adalah harga jualannya:
- Honor 400 Lite (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,299
Dari sekarang hingga 24 Julai, Honor juga menyertakan pembelian Honor 400 Lite dengan lanjutan waranti satu tahun bernilai RM99, bersama-sama dengan rebat RM200. Berikut adalah cara untuk mendapatkan rebat tersebut:
- Singgah ke mana-mana stor Honor atau pengedar sah Honor.
- Tangkap gambar peranti Honor 400 Lite.
- Kongsikannya di laman media sosial anda dengan menyertakan hashtag #HONOR400LiteMY.
- Tunjukkan hantaran tersebut ketika membuat pembayaran untuk menerima diskaun RM200 ke atas Honor 400 Lite.



Selain itu, Honor 400 Lite juga boleh didapatkan melalui telco, dengan Maxis dan U Mobile menawarkannya secara percuma apabila mendaftar untuk pelan Maxis Postpaid 109 dan U Postpaid 98 & U Family. Honor 400 Lite juga boleh didapatkan melalui Yes pada harga RM5 melalui pelan Yes 5G Infinite+ yang berharga RM58/bulan, bermula 2 Mei 2025.
Sebarang maklumat lanjut anda boleh layari laman web Maxis, U Mobile dan Yes.
Spesifikasi Honor 400 Lite

Berbanding Honor 200 Lite terdahulu, Honor 400 Lite kini didatangkan dengan rekaan yang sedikit lebih baharu, terutamanya pada modul kameranya. Daripada segi dimensi, ia memiliki berat 171 gram dan tebal hanya 7.29mm, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hijau, kelabu dan hitam.

Di hadapan, ia menggunakan skrin AMOLED 6.7″ yang mempunyai resolusi FHD+ dan sokong kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan skrinnya boleh mencecah setinggi 3,500 nits dan terdapat lubang berbentuk pil di dahi skrin dengan fungsi ‘Magic Capsule’, yang boleh memaparkan maklumat dengan lebih menarik.
Kuasa utama Honor 400 Lite digerakkan oleh cip Dimensity 7250-Ultra dan di pasaran global, ia ditawarkan dengan pilihan RAM 12GB dan storan 256GB. Ia akan menjalankan sistem operasi MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 dan turut dilengkapi beberapa fungsi AI termasuk Magic Portal, AI Translate, AI Eraser dan AI Outpainting.

Bercakap mengenai kamera, telefon ini hadir dengan kamera utama 108MP f/1.75 yang dikatakan menawarkan zum lossless 3x dan kamera ultralebar f/2.2. Untuk selfie, bentuk pil di atas skrin menempatkan kamera depan 16MP yang turut ditemani dengan ‘Selfie Light’.

Menariknya, Honor 400 Lite ini juga dilengkapkan dengan butang kamera khusus pada bahagian kanan telefon sama seperti siri iPhone 16, yang digelar sebagai ‘AI Camera Button’. Butang ini boleh digunakan untuk melancarkan kamera, menangkap gambar dan video, dan kawalan zum kamera. Apabila ditekan lama, butang ini akan membawa terus pengguna ke ciri ‘Visual Intelligence’ Honor.

Bateri berkapasiti 5,200mAh dimuatkan di dalam telefon dan ia menyokong pengecasan 35w melalui USB-C. Daripada segi perlindungan, telefon ini turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65 dan menerima pensijilan SGS bagiketahanan terhadap jatuhan.
Untuk maklumat tentang Honor 400 Lite, anda boleh layari laman produknya di sini.