Asus telah melancarkan barisan laptop TUF Gaming terbaharu untuk pasaran Malaysia, yang dikemas kini dengan cip pemproses terkini dan juga GPU siri RTX 50. Terdapat tiga model yang diperkenal iaitu TUF Gaming A14, A16 serta F16. Untuk mudah beza, model TUF Gaming A adalah laptop berasaskan cip AMD, manakal model TUF Gaming F pula berasaskan Intel.
Harga Asus TUF A14, A16 dan F16 di Malaysia

Ketiga-tiga laptop TUF A14, A16 dan F16 sudah pun mula dijual di Malaysia sekarang pada harga seperti berikut:
Asus TUF Gaming A
- Asus TUF Gaming A14 (Ryzen AI 7 350, RTX 5060) – RM7,499
- Asus TUF Gaming A16 (Ryzen AI 9 8940HX, RTX 5070) – RM7,299
Asus TUF Gaming F
- Asus TUF Gaming F16 (Core i7-14650HX, RTX 5060) – RM6,499
- Asus TUF Gaming F16 (Core i5-13450HX, RTX 5060) – RM5,999
Setiap pembelian turut disertakan dengan beg galas Asus TUF secara percuma. Selain TUF Gaming, Asus turut mengumumkan laptop Gaming V16 yang dekemas kini dengan GPU RTX 5060 dan RTX 4050, masing-masing dijual pada harga RM5,199 dan RM3,999.
Spesifikasi Asus TUF Gaming A14 dan A16

Bermula dengan Asus TUF Gaming A14. ia adalah laptop gaming bersaiz 14″ yang rekaan mudah alih, dengan berat hanya 1.46kg dan nipis 1.69cm. Paparannya menggunakan panel IPS LCD dengan resolusi 2560×1600 bernisbah 16:10 dan menyokong kadar segar semula 165Hz.



Atas papan utama, TUF Gaming A14 dijana cip AMD Ryzen AI 7 350 yang menawarkan NPU berkeupayaan 50 TOPS. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X 32GB dan storan PCIe 4.0 SSD 1TB. Bahagian grafik pula digerakkan oleh GPU GeForce RTX 5060 yang turut hadir dengan sokongan DLSS 4.0 untuk pengalaman gaming yang lebih lancar.

Bateri berkapasiti 73Whr dimuatkan di dalam dan ia boleh dicas pada kuasa 200W menggunakan blok pengecas yang disediakan. Meskipun kompak, ia menawarkan pilihan port I/O yang mencukupi termasuk 1 USB-C 4, USB-C 3.2 Gen 2, 2 USB-A 3.2 Gen 2, 1 HDMI 2.1, jek audio 3.5mm dan slot kad MikroSD.

Beralih kepada TUF Gaming A16 pula, macam namanya, ia hadir dengan paparan lebih besar berukuran 16″. Ia adalah panel IPS LCD dengan resolusi 2560 x 1600, kadar segar semula 165Hz dan nisbah 16:10. Laptop ini dikuasakan cip pemproses AMD Ryzen 9 8940HX, GPU RTX 5070, bersama-sama dengan RAM DDR5 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 1TB.



Laptop TUF Gaming A16 juga didatangkan dengan abteri 90Whr dan menyokong pengecasan AC 280W. Untuk sambungan fizikal, ilihan port I/O ditawarkan termasuk 2 USB-C 3.2 Gen 2, 3 USB-A 3.2 Gen 2, 1 HDMI 2.1, jek audio 3.5mm dan RJ45.
Dapatkan maklumat lanjut di laman spesifikasi Asus TUF Gaming A16 dan A14.
Spesifikasi Asus TUF Gaming F16

Sementara itu, Asus TUF Gaming F16 pula adalah laptop berasaskan cip pemproses Intel, dengan pilihan sama ada Core i7-14650HX atau Core i5-13450HX. Kedua-duanya turut didatangkan dengan RAM DDR5 16GB, tetapi model i7 ada storan PCIe SSD 1TB, manakala model i5 ada storan lebih kecil 512GB.



Bahagian grafik kedua-dua laptop digerakkan oleh GPU RTX 5060 dengan sokongan seperti Nvidia Advanced Optimus dan G-Sync. Bagi memastikan penyejukan yang efisien, laptop ini menggunakan kipas Arc Flow generasi kedua, yang dikatakan 16% lagi cekap tenaga sambil dapat meningkatkan aliran udara sebanyak 11%.
Untuk melihat skrin, kedua-dua varian didatangkan dengan paparan 16″ jenis IPS beresolusi FHD+ 1920 x 1200 dalam nisbah 16:10 dan kadar segar semula 165Hz. Paparannya turut ada cakupan warna penuh sRGB. Menyalurkan tenaga pada laptop adalah bateri berkapasiti 90Whr dan menyokong pengecasan AC 280W.

Pilihan port I/O yang boleh anda temukan pada laptop termasuk 1 Thunderbolt 4 dengan sokongan DisplayPort, 1 USB-C 3.2 Gen 2, 3 USB-A 3.2 Gen 2, 1 HDMI, RJ45 dan jek audio 3.5mm.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Asus Gaming TUF F16.